Beza fakir dan miskin

Golongan ini bukan sahaja tidak dapat menampung keperluan diri sendiri, malah tanggungan mereka dan dalam Islam amat layak untuk mendapat bantuan zakat.
Golongan ini bukan sahaja tidak dapat menampung keperluan diri sendiri, malah tanggungan mereka dan dalam Islam amat layak untuk mendapat bantuan zakat.
A
A
A

DI media-media sosial, ada ramai yang mengeluh dan mengatakan mereka tergolong dalam kalangan orang miskin yang memerlukan bantuan.

Namun meletakkan diri dalam kalangan miskin adalah amat berbeza mengikut seseorang individu dengan individu yang lain atau mengikut satu isi rumah dengan isi rumah yang lain.

Sebagai contoh dalam satu isi rumah yang berpendapatan RM5,000 tetapi mempunyai tanggungan yang ramai sehingga tidak mampu untuk menampung keperluan seperti makanan, sewa rumah, pendidikan atau keperluan asas yang lain.

Jadi mereka adalah golongan yang boleh dianggap miskin dan memang wajar untuk mendapat bantuan.

Namun bagi kelompok pendapatan yang sama tetapi tidak ada komitmen yang tinggi, tinggal di luar bandar dan masih mampu untuk mendapatkan keperluan asas, maka mereka tidak tergolong sebagai miskin.

Atas sebab itu jugalah kriteria yang ditetapkan kerajaan untuk diberikan bantuan tunai ialah dalam golongan isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah.

Sementara satu golongan yang paling memerlukan perhatian ialah fakir yang kalau mengikut takrifan, mereka hidup dalam keadaan yang sangat daif dan hampir tiada langsung sumber pendapatan.

Golongan ini bukan sahaja tidak dapat menampung keperluan diri sendiri, malah tanggungan mereka dan dalam Islam amat layak untuk mendapat bantuan zakat.

Dalam kebanyakan tafsiran fiqh, golongan fakir ialah mereka yang mempunyai kurang daripada 50 peratus daripada keperluan asas dan miskin ialah mereka yang mempunyai lebih daripada 50 peratus tetapi masih belum mencukupi keperluan asas.

Artikel Berkaitan:

Golongan miskin dianggap masih ada pendapatan namun tidak mencukupi dan sekadar mampu untuk mendapatkan barang keperluan asas sahaja.

Bagaimanapun, golongan ini juga masih berpeluang untuk mendapat bantuan zakat.

Berdasarkan kriteria yang dijelaskan dalam Islam, golongan fakir dan miskin termasuk dalam lapan asnaf yang layak menerima zakat berdasarkan Surah At-Taubah ayat 60.

Di Malaysia, setiap Majlis Agama Islam Negeri menetapkan kriteria fakir dan miskin berdasarkan had al-Kifayah iaitu ukuran kos keperluan asas yang mengambil kira bilangan tanggungan, tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan.

Sementara itu, Bank Dunia pula meletakkan pendapatan kurang daripada AS$3 (RM12) sehari berada pada paras miskin tegar.

Pendapatan RM2,705 dalam kategori miskin

Di Malaysia, ukuran kemiskinan utama ditentukan menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang merujuk kepada jumlah pendapatan bulanan minimum yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah untuk memenuhi keperluan asas makanan dan bukan makanan.

Ukuran kemiskinan yang digunakan ialah kemiskinan mutlak iaitu isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan di bawah PGK. Pada 2024, purata PGK Malaysia ialah RM2,705 sebulan bagi satu isi rumah.

Bagi kemiskinan tegar, isi rumah yang pendapatannya berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan (PGK Makanan) iaitu tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan minimum.

Jadi yang paling penting pada ketika ini yang perlu diberikan perhatian oleh pemerintah ialah memastikan keperluan asas mampu dimiliki dan dinikmati oleh setiap golongan terutama dalam kalangan fakir serta miskin.

Cuma yang kita tidak mahu adalah pemikiran sesetengah orang mengenai ketidakmampuan mereka untuk menonton wayang, melancong dalam dan luar negara atau membeli perkara yang bukan keperluan sudah dianggap sebagai miskin.

Jika mahu hidup senang lenang, carilah jalan dan berusaha keras kerana yang bulat tidak akan datang bergolek dan pipih tidak datang melayang.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!