Sindiket pelacuran persendirian tumpas, guna media sosial cari pelanggan

CYBERJAYA - Kegiatan pelacuran yang dijalankan secara persendirian dengan menjadikan unit hotel dan kondominium sebagai tempat persundalan digempur polis pada Sabtu.
Op Noda itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sekitar Cyberjaya, Damansara dan Puchong hasil maklumat serta risikan.
Serbuan yang bermula kira-kira jam 7 petang itu berjaya menahan lapan wanita warga asing terdiri daripada tiga warga Thailand dan lima warga Indonesia.
Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang disyaki berperanan sebagai penghantar (transporter) turut ditahan ketika sedang menghantar wanita terbabit kepada pelanggan.
Seorang wanita Indonesia berusia lingkungan 30-an mendakwa dia menawarkan khidmat seks sejak beberapa bulan lalu dengan menyewa unit berkenaan.
"Saya datang ke sini sebab sedang cuti semester di Indonesia. Saya baru selesai menduduki peperiksaan universiti.
"Saya tahu perbuatan ini salah, cuma mahu mendapatkan wang tambahan untuk menampung kos pelajaran," dakwanya.

Menerusi serbuan itu, wanita warga asing terbabit didapati mencari pelanggan menggunakan aplikasi WeChat dan WhatsApp serta dipercayai mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM540 sejam.
Ada antara wanita terbabit dipercayai memasuki Malaysia menggunakan visa pelancong dan tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.
Menurut sumber, wanita terbabit akan mengambil pelanggan di lobi blok sebelum membawa mereka ke unit berkenaan bagi menawarkan perkhidmatan seks.
"Mereka menggunakan aplikasi media sosial untuk mengiklankan gambar dan lokasi.
"Bayaran dipercayai dibuat selepas perkhidmatan seks selesai diberikan," katanya.
Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai barangan termasuk telefon bimbit, kondom, tuala, kad akses dan wang tunai.
Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, IPD Sepang dan IPD Serdang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
