Mayat mangsa terakhir perahu karam di Sungai Baram ditemukan

MIRI - Mangsa terakhir tragedi perahu karam di Sungai Baram berhampiran Long Selatong, Marudi ditemukan lemas awal pagi ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mayat Ceria Dullah, 43, ditemukan orang awam kira-kira 5 pagi di Long Miri.
"Sebaik menerima maklumat, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke Long Miri pada 7.50 pagi dan tiba di lokasi penemuan mayat wanita itu pada 11.29 pagi.
"Pasukan SAR menggunakan bot orang awam untuk mengambil mayat mangsa yang ditemukan dalam lingkungan 94 kilometer dari lokasi kejadian,” menurut JBPM Sarawak dalam kenyataan hari ini.
Operasi SAR berkenaan ditamatkan selepas kesemua empat mangsa ditemukan.
Dalam kejadian Isnin lepas, empat penduduk Kampung Long Selatong dipercayai menaiki sebuah perahu menuju ke Klinik Kesihatan Long San sebelum perahu itu dipercayai karam di Sungai Baram.
Mayat kanak-kanak lelaki, Jovian Jangin Joshua, 4, ditemukan pada Selasa, bapanya Joshua Uken Mathew, 38, pada keesokannya (Rabu) manakala Jonathan Nyurang Lusut, 45, ditemukan semalam (Khamis). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
