Naratif perpaduan ummah BN-PN boleh jadi ancaman kepada perpaduan kaum - Khalid

SEREMBAN – Naratif perpaduan ummah yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan saja demi meraih kuasa semata-mata, sebaliknya boleh menjadi ancaman kepada perpaduan kaum di negara ini.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, sekiranya perpaduan itu hanya berasaskan kaum dan kelompok semata-mata, ia merupakan 'assobiyyah' yang ditegah dalam Islam.
"Persoalannya sekarang, adakah perpaduan yang ingin dibina ini atas kebaikan dan ketakwaan atau kejahatan dan perbalahan?
"Pakatan Harapan (PH) melihatnya sebagai satu ancaman bukan sekadar untuk pilihan raya, tapi juga untuk membina perpaduan rakyat negara ini,"katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH Negeri Sembilan di sini pada Khamis.
Ujar beliau, apabila ia bertujuan untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang jelas berprestasi tinggi tanpa alasan yang munasabah, ia adalah perpaduan yang dibina atas kejahatan dan perbalahan.
Tambahnya, perpaduan yang sepatutnya dibina adalah untuk membantu dan menyokong prestasi baik kerajaan yang ada, bukannya menjatuhkan.
"Perpaduan yang dibina untuk menyokong kerajaan yang berprestasi baik adalah perpaduan yang dibina atas kebaikan dan ketakwaan.
"Bagi kami, perpaduan yang dibentuk oleh BN dan PN ini adalah demi kuasa, bukan demi perpaduan ummah,"katanya.
Jelasnya, ia berbeza dengan PH, yang bekerja demi kepentingan seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira kaum.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Fahmi Fadzil pula berkata, PH memandang serius perkara itu kerana ia akan menimbulkan keadaan yang tidak baik dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Baru-baru ini ada beberapa pimpinan memberi gambaran seolah-olah hanya satu kelompok saja boleh memonopoli melayu-islam.
"Habis tu Khalid Samad bukan Melayu-Islam? Saya bukan Melayu Islam? Jadi politik yang agak eksklusif seperti itu, tidak mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian dalam negara.
"Ia hanya menimbulkan bibit-bibit yang tidak begitu baik,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

