'Labelkan DAP jahat, untuk dapat undi'- Mat Sabu

SEREMBAN - Naratif melabelkan DAP sebagai parti yang jahat didakwa digunakan oleh pihak tertentu bagi mendapatkan sokongan, khususunya dalam kalangan pengundi Melayu.
Presiden Parti Amanah Negara(Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, isu perkauman turut dimainkan setiap kali menjelang pilihan raya.
"Sekarang muncul semula isu perkauman, isu DAP. DAP di Negeri Sembilan jahat, DAP di Johor jahat, tapi DAP di Perak dan Pahang baik.
"Isu DAP ini hanya digunakan untuk mendapat undi. Ia bukan isu 'real' tapi 'artificial' yang dicipta untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Itulah yang dimainkan isu DAP ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan(PH) Dewan Undangan Negeri(DUN) Paroi di sini pada Rabu.
Menurutnya, naratif tersebut sengaja digunakan bagi mempengaruhi persepsi pengundi terhadap DAP.
Dalam pada itu beliau mengakui bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah seorang yang sempurna, namun sejak menjadi ketua negara, beliau menunjukkan prestasi yang sangat baik.
Malah ujar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, pencapaian negara di bawah kepimpinan Anwar turut mendapat pujian daripada luar negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

