Mana hang nak lari?

Polis berjaya menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri.
Polis berjaya menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri.
A
A
A

KEPALA BATAS - Sanggup terjun ke dalam paya selepas menyedari kehadiran polis. Itu antara situasi yang berlaku semasa pemantauan Ops Covid-19 dilakukan di sekitar kawasan Teluk Malas, Penaga di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, empat lelaki yang berusia di antara 40 hingga 66 tahun pada mulanya dilihat duduk berbual di dalam sebuah bangsal, namun kesemua mereka bertempiaran lari selepas melihat kenderaan polis masuk ke dalam kampung.

Bagaimanapun usaha mereka meloloskan diri ternyata sia-sia apabila kesemuanya berjaya ditahan termasuk salah seorang yang tersangkut dalam paya.

Ketika disoal, mereka memberi alasan baru sahaja datang ke bangsal berkenaan untuk berjumpa rakan selepas selesai turun ke laut pagi tadi.

Namun pemeriksaan yang dilakukan di dalam bangsal berkenaan menemui dua botol air ketum serta beberapa cawan.

Lelaki yang terjun ke dalam kawasan paya berjaya ditahan.
Lelaki yang terjun ke dalam kawasan paya berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, walaupun mereka mengetahui kesalahan berada di luar kawasan rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun masih degil dan mahu melepak bersama rakan.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut sebelum kompaun dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam operasi sama kita turut mengesan dua lelaki berusia 22 tahun yang sedang melepak di tepi laut tidak jauh daripada bangsal berkenaan.

"Mereka beri alasan panas duduk di rumah dan saja mahu mengambil angin di situ. Namun alasan itu tidak boleh diterima dan mereka juga dikenakan kompaun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semua yang ditahan kerana ingkar dikumpulkan.
Semua yang ditahan kerana ingkar dikumpulkan.

Sementara itu, Noorzainy berkata, polis menahan tujuh lelaki berusia 30 hingga 40 tahun selepas didapati sedang melepak dengan meminum air tuak dalam sebuah pondok di Jalan Raja Uda di sini petang semalam.

Beliau berkata, mereka pada mulanya tidak mengaku sedang minum air tuak, namun pemeriksaan lanjut menemui minuman tersebut di situ malah pondok tersebut dijadikan tempat memproses air berkenaan oleh dua lelak yang ditahan itu.

"Sejak pelaksanaan PKP bermula 18 Mac hingga semalam seramai 143 orang telah dituduh di mahkamah manakala 96 lagi dikenakan kompaun RM1,000.

"Saya memberi amaran keras kepada orang ramai agar mematuhi PKP jika gagal tindakan undang-undang akan diambil," katanya.