Pemuda UMNO Pokok Sena gesa perkukuh kerjasama dengan Pas

POKOK SENA – UMNO digesa memanfaatkan sepenuhnya hubungan baharu dengan Pas bagi membina kepercayaan dan kerjasama yang lebih kukuh pada peringkat akar umbi demi memperkasakan agenda perpaduan ummah.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, perkara tersebut merupakan antara cadangan usul utama yang akan dibawa pada Persidangan Pemuda UMNO Bahagian berkenaan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurutnya, hubungan yang terjalin antara kedua-dua parti tidak seharusnya bersifat sementara atau hanya tertumpu kepada kepimpinan tertinggi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk kerjasama yang lebih menyeluruh.
"Momentum hubungan baharu UMNO-Pas perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina kepercayaan yang kukuh pada peringkat akar umbi, menyusun agenda ummah secara bersama serta menyediakan asas perpaduan yang utuh dan berkekalan demi generasi akan datang," katanya kepada Sinar Harian.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, Pas mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi calon bukan Melayu daripada MCA dan MIC sebagai sebahagian daripada strategi mengekang peluang Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, daripada membentuk kerajaan negeri.
Arahan mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) turut terpakai kepada calon bukan Melayu daripada komponen BN.
Terbaharu, pada PRN Negeri Sembilan, kedua-dua gabungan tersebut secara terbuka bekerjasama apabila BN bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN bertanding di 11 kerusi bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.
Jelas Mohd Farhan, perpaduan tidak boleh dianggap sebagai strategi politik jangka pendek, sebaliknya perlu dijadikan prinsip perjuangan yang mampu memperkukuh parti dalam jangka panjang.
Menurutnya, sejarah tamadun Islam membuktikan bahawa kekuatan sesuatu umat terhasil daripada kesatuan, manakala perpecahan hanya akan melemahkan perjuangan.
"Perpaduan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak dalam menghadapi cabaran politik semasa.
"Kita bukan sedang membina kerjasama untuk menghadapi satu pilihan raya sahaja, sebaliknya membina asas perjuangan yang mampu bertahan untuk tempoh puluhan tahun berteraskan persaudaraan, keikhlasan dan saling menghormati," ujarnya.
Selain memperkukuh hubungan dengan Pas, Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena turut mencadangkan agar kepimpinan parti menetapkan dasar regenerasi kepimpinan yang lebih jelas menjelang PRU16.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah mewujudkan kuota wajib calon muda dalam proses pencalonan pilihan raya bagi memastikan UMNO terus relevan dengan demografi pengundi semasa yang semakin dikuasai golongan muda.
Menurut usul berkenaan, gabungan pengalaman pemimpin lama dengan tenaga serta idealisme generasi muda diyakini mampu menjadi kekuatan baharu kepada UMNO untuk meraih semula keyakinan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

