Malaysia, Jepun komited perkukuh kerjasama strategik demi kestabilan sejagat - Anwar

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Jepun menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala di bawah Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP) bagi memastikan keamanan, kestabilan serta kemakmuran di peringkat serantau dan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkat, perkara itu dibincangkan menerusi perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Jepun, Sanae Takaichi yang turut menyentuh pelbagai kemajuan kerjasama dalam bidang keutamaan kedua-dua negara.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin menghargai serta menilai tinggi perkembangan hubungan erat yang telah terjalin sejak 1957 yang kini diperkukuh melalui CSP.
"Kami menyentuh kemajuan kerjasama dalam bidang keutamaan termasuk keamanan dan keselamatan, ekonomi serta sains, teknologi dan inovasi," kata beliau menerusi hantaran Facebook.
Selain isu dua hala, Anwar berkata, beliau turut berkongsi pendirian Malaysia berhubung situasi di Asia Barat yang menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera, perlindungan orang awam serta penyelesaian konflik melalui dialog dan diplomasi selaras dengan undang-undang antarabangsa.
"Kami bersetuju untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala serta memainkan peranan konstruktif dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dan global," kata Anwar. - Bernama
Ringkasan AI
- Malaysia dan Jepun komited memperkukuh hubungan dua hala di bawah Kerjasama Strategik Komprehensif
- Perbincangan antara Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, dan rakan sejawat dari Jepun, Sanae Takaichi, via telefon
- Perkembangan hubungan erat sejak 1957 diperkukuh dengan CSP
- Kerjasama dalam bidang keamanan, keselamatan, ekonomi, serta sains, teknologi, dan inovasi
- Malaysia dan Jepun bersetuju terus memperkukuh kerjasama untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dan global
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
