'Selagi muafakat kita sehaluan' - Anwar

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan mesej mengenai kepentingan mengekalkan semangat muafakat walaupun berbeza pandangan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Rabu.
Menerusi hantaran itu, beliau berkongsi serangkap pantun yang membawa maksud perpaduan dan kesepakatan perlu terus dipelihara demi kepentingan bersama.
"Burung merbah terbang sekawan, Guruh berdentum membelah awan, Berbeza langkah, jangan putus kawan, Selagi muafakat, kita sehaluan," tulisnya pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan Anwar memberi amaran kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, mana-mana pihak yang berbuat demikian akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang kerana mereka perlu mematuhi disiplin sebagai anggota pentadbiran kerajaan.
Pada Selasa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Perdana Menteri boleh memecat beliau dan semua menteri daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya tidak menyukai mereka.
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak melihat sebarang sebab untuk mana-mana daripada lapan menteri BN meletak jawatan, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mereka yang menyerang rakan dalam kerajaan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan harus berundur.
Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sembilan di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) KEMAS Kampung Pantai Seremban.
Dalam pada itu, hantaran berkenaan turut disertakan dengan beberapa keping gambar yang memaparkan beliau menghadiri satu mesyuarat bersama barisan kepimpinan kerajaan.
Perkongsian terbaharu Anwar itu dilihat sebagai penekanannya terhadap semangat muafakat dalam kalangan anggota pentadbiran serta rakan komponen kerajaan, khususnya ketika kempen PRN berlangsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

