Ancaman baharu penipuan korporat

KEPERCAYAAN menjadi aset paling mahal dalam dunia pelaburan bagi membolehkan sesebuah syarikat pemula mengumpulkan dana besar daripada pelabur.
Namun, skandal membabitkan syarikat pemula, akuakultur Indonesia, eFishery yang mengakibatkan kerugian dana pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak kira-kira RM200 juta membuktikan kepercayaan juga boleh dimanipulasi.
Lebih-lebih lagi apabila pelabur bertaraf dunia juga turut terjerat selepas diperdayakan menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan.
Selain KWAP, beberapa institusi pelaburan antarabangsa terkemuka termasuk Temasek Holdings dari Singapura, SoftBank (Jepun), 42XFund (Emiriah Arab Bersatu) dan Northstar Group (Singapura) antara yang menjadi mangsa penipuan korporat tersebut.
Tindakan manipulasi penyata kewangan memberi gambaran pelaku bukan sahaja memahami operasi perniagaan dan keperluan pelabur, malah berupaya membina naratif pertumbuhan yang meyakinkan melalui dokumentasi, data prestasi dan gambaran operasi yang kelihatan sah.
Dalam keadaan tersebut, proses due diligence yang menjadi benteng utama pelabur juga boleh menjadi sukar jika maklumat asas yang diterima telah dimanipulasi secara sistematik.
Institusi yang mempunyai pasukan pelaburan profesional, penasihat undang-undang dan pakar kewangan sendiri boleh terpedaya, apakah jaminan bahawa kaedah penilaian sedia ada masih memadai untuk menghadapi bentuk penipuan korporat yang semakin kompleks?
Persoalan tersebut bukan lagi tertumpu kepada eFishery semata-mata, tetapi menyentuh tahap kesiapsiagaan seluruh ekosistem pelaburan dalam menghadapi risiko baharu era ekonomi digital.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, isu tersebut bukan sahaja perlu diteliti secara makro tetapi juga perlu dilihat secara mikro.
Ini kerana menurutnya, keupayaan sebuah syarikat pemula eFishery mampu memperdayakan pelabur-pelabur ternama dan berpengalaman termasuk KWAP dan Temasek seolah-olah menunjukkan satu sindiket penipuan pelaburan perniagaan yang terancang dan professional kini berada dalam industri.
"Penipuan ini sukar dikesan kerana berkemungkinan wujudnya golongan profesional yang terlibat mahir dan berpengalaman dengan selok belok idea ini.
"Kemampuan manipulasi dokumentasi yang sah dan bijak mengekploitasi data serta penglibatan dan sokongan daripada mereka yang dilihat berpengalaman dan aspek pelaburan yang berimpak tinggi," katanya kepada Sinar Bisnes.
DealStreetAsia melaporkan, KWAP melabur kira-kira AS$47.7 juta (RM200 juta) dalam pusingan pembiayaan Series D eFishery pada 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan pelaburan tersebut telah dibuat mengikut proses penilaian dan tadbir urus yang ketat berdasarkan maklumat yang tersedia pada ketika itu.
Malah katanya, maklumat berkenaan turut merangkumi pengesahan penyata kewangan oleh juruaudit antarabangsa yang bertauliah.
Meskipun begitu, kemungkinan wujudnya kelemahan proses due diligence dana institusi sehingga menyebabkan KWAP menjadi mangsa, tidak boleh dinafikan.
Faktor FOMO (fear of missing out) atau takut ketinggalan, dikhuatiri mempengaruhi keputusan pelaburan yang dibuat, mengambil kira penglibatan pelabur-pelabur gergasi dalam syarikat tersebut.
Mohd Faisol yang tidak menolak perkara berkenaan berkata, kerana itu, KWAP mungkin berkeyakinan bahawa projek pelaburan tersebut selamat dan berdaya maju.
Justeru tegas beliau, KWAP perlu melantik audit KWAP sendiri bagi memastikan laporan audit yg disediakan oleh mana-mana syarikat pelaburan pemula adalah betul dan tepat serta tiada unsur penipuan.
"Projek pelaburan ini melibatkan pelabur-pelabur besar lain termasuk Temasek dan beberapa lagi menyebabkan KWAP mungkin tidak melakukan check and balance secara terperici syarikat pemula tersebut," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, siasatan juga perlu mengambil kira kemungkinan wujudnya kuasa ghaib yang cuba mempengaruhi keputusan untuk membuat pelaburan tersebut sehingga menyebabkan penipuan sukar dikesan sejak awal.
Katanya, kes tersebut menjadi pengajaran besar buat KWAP dalam menguruskan pelaburan yang melibatkan duit pencen rakyat.
"Kerugian yang dialami oleh KWAP sebanyak RM200 juta bukan satu jumlah yang kecil sebaliknya ia satu jumlah yg sangat besar dan memerlukan siasatan terperinci.
"Sebarang kecuaian, kelalaian, ketirisan, rasuah dan ketidakpatuhan kepada peraturan yang ditetapkan oleh BNM perlu diambil tindakan sewajarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
