'Baju biru' bukan penentu pembangunan Negeri Sembilan - Foong Hin

Foong Hin
Foong Hin
A
A
A

SHAH ALAM – Negeri Sembilan tidak akan menjadi lebih maju hanya kerana rakyat menukar baju merah kepada baju biru. Sebaliknya, kemajuan sesebuah negeri bergantung kepada dasar yang tepat, kepimpinan berwibawa serta pelaksanaan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Pengarah Polisi DAP Kebangsaan, Datuk Chan Foong Hin berkata, pembangunan tidak ditentukan oleh warna parti, sebaliknya melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, selain perancangan yang tersusun serta dasar yang konsisten.

"Semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan memahami bahawa pembangunan tidak berlaku hanya kerana sesebuah parti memenangi pilihan raya.

"Ia berlaku apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai hubungan kerjasama yang erat, perancangan yang tersusun, dasar yang konsisten serta komitmen politik untuk merealisasikan projek-projek yang telah dirancang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengaitkan pembangunan Negeri Sembilan dengan pemakaian 'baju biru'.

Foong Hin yang juga Ahli Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan (PH) berkata, manifesto PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mengandungi 10 komitmen utama dan lima projek berimpak tinggi yang dirangka berdasarkan pengalaman mentadbir negeri serta kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, lima projek tersebut ialah pembangunan Seremban Sentral dan peningkatan kekerapan perkhidmatan Komuter Seremban-Kuala Lumpur, pembinaan hospital baharu di Bandar Enstek, pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Baharu Port Dickson, pembinaan rumah kedua di lot kediaman Felda serta pembinaan Landasan Bypass Senawang-Port Klang.

Beliau berkata, tiga daripada lima projek berkenaan berkait secara langsung dengan sektor pengangkutan dan logistik yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan ke Negeri Sembilan.

"Pelabur tidak datang hanya kerana mendengar ceramah politik. Mereka datang kerana adanya jaringan rel yang cekap, jalan raya yang baik, pelabuhan moden dan dasar kerajaan yang memberi keyakinan kepada dunia perniagaan.

Artikel Berkaitan:

"Inilah bezanya politik yang menawarkan penyelesaian dengan politik yang hanya bermain persepsi. Pakatan Harapan memilih untuk bercakap tentang projek, pelaburan dan masa depan ekonomi negeri, bukannya menjadikan warna baju sebagai ukuran pembangunan," katanya.

Foong Hin turut mendakwa pelbagai projek pengangkutan yang sebelum ini tertangguh mula digerakkan selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, diberi kepercayaan menerajui Kementerian Pengangkutan.

Tambah beliau, pilihan raya bukan sekadar pertandingan antara parti politik, sebaliknya peluang untuk rakyat memilih pemimpin berdasarkan rekod pencapaian dan pelan pembangunan yang mampu dilaksanakan demi kemajuan Negeri Sembilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!