Kerjasama BN, PN hanya tertakluk di Negeri Sembilan - Wan Rosdy

HULU TERENGGANU – Persefahaman dan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hanya melibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan tidak terpakai di negeri-negeri lain.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik di negeri lain akan diputuskan selepas dibincangkan bersama kepimpinan tertinggi parti dan bukannya ditentukan secara bersendirian.
"Setakat hari ini, kerjasama itu hanya di Negeri Sembilan. Bagi negeri-negeri lain, kita akan berbincang terlebih dahulu dan keputusan tidak dibuat oleh seorang individu, sebaliknya diputuskan secara bersama oleh kepimpinan tertinggi parti.
"Di Negeri Sembilan, keadaan memerlukan kita bekerjasama. Dalam politik kita perlu bijak membuat pertimbangan dan ada masanya perlu berkongsi demi mencapai matlamat yang lebih besar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Akademi Binaan Wilayah Timur (ABM) di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Nik Dir Wan Ku dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata demikian bagi mengulas spekulasi sama ada persefahaman serta kerjasama politik antara BN dan PN akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau turut mengesahkan keputusan menjalinkan kerjasama bagi PRN Negeri Sembilan itu bukanlah keputusan individu Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semata-mata, sebaliknya telah dicapai menerusi persetujuan Biro Politik UMNO.
Mengulas mengenai senario politik semasa, Wan Rosdy menjelaskan landskap politik sentiasa berubah dan dinamik, justeru pendekatan yang diambil sesebuah parti tidak semestinya sama bagi setiap negeri.
"Politik ini berubah-ubah. Tidak semestinya apa yang berlaku hari ini akan kekal lima tahun akan datang.
"Kalau kita lihat sekarang pun, pendekatan politik berbeza mengikut negeri. Di Johor pendekatannya berbeza, manakala di Negeri Sembilan pula pendekatan yang diambil tidak sama," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau meminta seluruh pimpinan BN di setiap peringkat agar tidak berputus asa dengan kekalahan parti pada PRU lalu, sebaliknya terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi.
"Apa yang lebih penting ketika ini ialah kita perlu terus bekerja, mendekati rakyat dan anak-anak muda serta memberikan harapan kepada mereka supaya UMNO kembali mendapat sokongan yang lebih kukuh," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

