Papan tanda Network School sudah tiada, premis lengang

ISKANDAR PUTERI – Premis Network School di Forest City kini lengang dan tidak lagi beroperasi susulan pembatalan lesen perniagaannya oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang berkuat kuasa pada Rabu.
Tinjauan di lokasi mendapati satu notis pemberitahuan penutupan sementara ditampal pada pintu masuk utama premis, manakala papan tanda yang sebelum ini memaparkan nama Network School turut didapati telah diturunkan.

Bagaimanapun, beberapa pengawal keselamatan masih berada di dalam kawasan premis bagi mengawal keadaan.
Sebelum ini, MBIP mengumumkan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) dibatalkan dan mengarahkan semua aktiviti syarikat itu dihentikan berkuat kuasa 22 Julai selepas didapati melanggar beberapa syarat pelesenan.
Antara pelanggaran yang dikenal pasti termasuk menjalankan operasi tanpa lesen yang sah bagi salah satu premis.

Kerajaan Johor turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan MBIP dan menegaskan penguatkuasaan itu dibuat berdasarkan undang-undang serta hasil penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan dan representasi yang dikemukakan pihak syarikat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius sebarang pelanggaran syarat pelesenan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi berkaitan bagi memastikan semua aspek perundangan dipatuhi, termasuk membabitkan status pelajar antarabangsa yang terjejas susulan penutupan operasi Network School.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

