Tragedi kanak-kanak 11 tahun dirogol berkumpulan dedah krisis jenayah seksual di India

Seorang anggota polis berkawal di sebatang jalan selepas kes rogol dan pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun berlaku di sebuah bandar berhampiran Kolkata, Bengal Barat pada Sabtu lalu. Foto Reuters
Seorang anggota polis berkawal di sebatang jalan selepas kes rogol dan pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun berlaku di sebuah bandar berhampiran Kolkata, Bengal Barat pada Sabtu lalu. Foto Reuters
A
A
A

NEW DELHI - Pembunuhan kejam seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di negeri Bengal Barat sekali lagi mendedahkan realiti pahit yang masih menghantui India apabila keganasan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak terus berlaku meskipun pelbagai pembaharuan undang-undang telah diperkenalkan sejak lebih sedekad lalu.

Mangsa dilaporkan keluar dari rumah pada petang 4 Julai untuk menghadiri sambutan hari jadi rakannya di sebuah bandar kecil di daerah Baruipur.

Namun, kanak-kanak itu tidak pulang, sekali gus mencetuskan usaha mencarinya oleh ahli keluarga dan penduduk setempat.

Siasatan polis mendapati mangsa dipercayai diculik sebelum dirogol secara berkumpulan.

Selepas serangan itu, dia dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dicampakkan ke sebuah kolam ketika masih bernyawa.

Mayatnya ditemukan keesokan pagi dengan kesan lebam dan gigitan pada tubuh.

Bapa mangsa yang masih trauma berkata, beliau sukar menerima kehilangan anaknya dan tidak mampu berfikir dengan tenang sejak kejadian itu berlaku.

Mengikut undang-undang India, identiti mangsa serta ahli keluarganya tidak boleh didedahkan bagi melindungi privasi mangsa jenayah seksual.

Kes tersebut memberi tekanan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, terutama selepas Parti Bharatiya Janata (BJP) berjaya membentuk kerajaan di Bengal Barat beberapa bulan lalu dengan menjadikan keselamatan wanita sebagai antara janji utama dalam kempen pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Namun, aktivis hak wanita berpendapat pertukaran kerajaan semata-mata tidak memadai untuk menyelesaikan masalah yang telah lama berakar dalam masyarakat India.

Mereka menegaskan budaya patriarki, diskriminasi terhadap wanita, kelemahan penguatkuasaan undang-undang, kekurangan anggota polis, proses kehakiman yang perlahan dan sikap masyarakat yang sering menyalahkan mangsa menyebabkan ramai pelaku percaya mereka mampu terlepas daripada hukuman.

Menurut data rasmi Biro Rekod Jenayah Kebangsaan India, sebanyak 29,536 kes rogol direkodkan sepanjang 2024, bersamaan lebih 80 laporan setiap hari.

Aktivis percaya angka sebenar jauh lebih tinggi kerana ramai mangsa memilih untuk tidak membuat laporan akibat stigma sosial.

Dalam tempoh sama, kes di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO) meningkat kepada 69,191 kes, iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan di negara itu.

Kejadian di Baruipur bukan satu-satunya kes yang menggemparkan India sejak kebelakangan ini.

Di Rajasthan, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan diculik, diberikan dadah dan dirogol oleh beberapa lelaki selama empat hari di beberapa hotel sebelum berjaya diselamatkan polis.

Setakat ini, seramai 22 individu telah ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, media tempatan turut melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Ghaziabad dirogol sebelum dibunuh, manakala mayatnya dibuang ke dalam lubang lif sebuah pusat beli-belah yang masih dalam pembinaan.

Peguam hak asasi manusia, Karuna Nundy, yang terlibat dalam penggubalan undang-undang antirogol selepas tragedi rogol berkumpulan di New Delhi pada 2012 berkata, masalah sebenar bukan sekadar kelemahan undang-undang tetapi kegagalan menghapuskan budaya mengutamakan lelaki dan memandang rendah terhadap wanita.

Beliau menegaskan perubahan memerlukan usaha berterusan di peringkat komuniti, termasuk pendidikan mengenai kesaksamaan gender, latihan kepada anggota polis serta pelantikan hakim yang mempunyai pemahaman mendalam terhadap isu keganasan berasaskan gender.

Kes rogol dan pembunuhan seorang pelajar wanita di dalam sebuah bas di New Delhi pada 2012 sebelum ini mencetuskan bantahan besar-besaran dan membawa kepada pelaksanaan hukuman lebih berat terhadap pesalah serta penubuhan mahkamah khas bagi mempercepatkan perbicaraan.

Walaupun begitu, aktivis hak wanita dari Kolkata, Satabdi Das berkata, keadaan tidak banyak berubah kerana punca utama jenayah seksual masih belum ditangani secara menyeluruh.

Beliau menegaskan masalah itu bukan hanya berlaku di Bengal Barat, sebaliknya melibatkan hampir seluruh India yang masih dipengaruhi budaya patriarki.

Kerajaan India sebelum ini menyasarkan penubuhan 2,600 mahkamah khas pantas menjelang 2026 bagi mengendalikan kes jenayah seksual.

Namun, data rasmi menunjukkan hanya 755 mahkamah berjaya diwujudkan, termasuk 410 mahkamah khas bagi mengendalikan kes di bawah Akta POCSO.

Dalam kes Baruipur, keluarga mangsa turut mempersoalkan tindakan polis yang didakwa lambat bertindak selepas laporan kehilangan dibuat.

Mereka mendakwa penduduk setempat terpaksa mendapatkan sendiri rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu mengesan pergerakan mangsa.

Seorang pegawai polis memaklumkan siasatan dalaman sedang dijalankan bagi meneliti sama ada terdapat kelemahan dalam pengendalian laporan kehilangan tersebut.

Kes itu turut mencetuskan semula perdebatan mengenai amalan pembunuhan di luar proses kehakiman atau encounter killing.

Polis memaklumkan seorang suspek utama ditembak mati selepas dipercayai cuba merampas senjata ketika berada dalam tahanan.

Kerajaan negeri menyifatkan tindakan itu sebagai bukti bahawa pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap jenayah berat.

Bagaimanapun, pertubuhan hak asasi manusia dan pemimpin pembangkang mengingatkan bahawa pembunuhan tanpa melalui proses perbicaraan hanya akan melemahkan sistem keadilan serta memberi kuasa yang terlalu besar kepada pihak berkuasa.

Mereka menegaskan penyelesaian jangka panjang memerlukan pembaharuan institusi, penguatkuasaan undang-undang yang lebih cekap, sistem kehakiman yang pantas serta perubahan sikap masyarakat terhadap wanita dan kanak-kanak bagi memastikan keganasan seksual dapat dibendung secara berkesan.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!