X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD kelima di kawasan sekitar Masjid India

Seluruh susur masuk ke Jalan Masjid India ditutup dan dipasang kawat duri hari ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan bagi menangani penularan wabak Covid-19. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang kelima di kawasan sekitar Masjid India, Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini sehingga 28 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan tersebut ialah Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang sekitar Masjid India.

Sebelum ini, menara City One di Jalan Munshi Abdullah dan bangunan Selangor Mansion serta Malayan Mansion di Jalan Masjid India telah dikenakan PKPD.

"Hari ini atas nasihat Kementerian Kesihatan, kerajaan melaksanakan PKPD kelima di kawasan sekitar Masjid India berkuat kuasa 14 April hingga 28 April ini.

"Semua penghuni kawasan terlibat diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba juga memutuskan PKPD di Batu 21 hingga 23 Kampung Sungai Lui, Hulu Langat di Selangor tamat malam tadi.

Bagaimanapun katanya, PKPD yang dikenakan kepada Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Sungai Lui dilanjutkan sehingga 28 April ini.

"Pelaksanaan PKPD di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor juga dilanjutkan lagi sehingga 28 April ini berikutan penambahan kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk.

"Kerajaan juga memutuskan PKPD ketiga melibatkan Menara City One di Jalan Munshi Abdullah dan PKPD keempat di Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India turut dilanjutkan sehingga 28 April ini kerana peningkatan kes positif dalam kalangan penghuni," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus