Penduduk Parit Pasir Tumboh bantu sesama sendiri

Tuan Mohd Noor menyerahkan beras kepada penduduk memerlukan.
Tuan Mohd Noor menyerahkan beras kepada penduduk memerlukan.
A
A
A

KOTA BHARU - Dengan menggunakan tagline 'Warga Mukim Parit Tidak Akan Menangis Kelaparan', Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit Pasir Tumboh mengambil inisiatif mengumpul wang dan menyediakan barangan dapur kepada anak mukim yang kesempitan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha pertubuhan, Tuan Mohd Noor Tuan Yahya berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi mengurangkan kebimbangan dan beban dalam kalangan ahli, keluarga ahli dan warga mukim yang menghadapi kekurangan bekalan makanan.

Menurutnya, masing-masing memahami perintah diarahkan oleh kerajaan supaya duduk di rumah, namun bagi mereka yang bergantung kepada gaji harian ia sedikit sebanyak memberi kesan.

“Diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bersimpati dengan keadaan itu, kami mengambil inisiatif menggerakkan kerja-kerja sebegini.

“Mengharapkan masing-masing tidak terlepas pandang dengan nasib kumpulan yang daif mahupun mereka tidak bekerja bagi mengelak terputus bekalan makanan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Penduduk menerima barangan dapur hasil sumbangan Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit Pasir Tumboh.
Penduduk menerima barangan dapur hasil sumbangan Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit Pasir Tumboh.

Terdahulu beliau turun pandang mengagihkan bungkusan makanan kepada penduduk terlibat di sini.

Tuan Mohd Noor berkata, barangan dapur berkenaan diagihkan secara dua siri yang mana pada peringkat pertama seramai 70 penerima mendapat bungkusan makanan, manakala fasa kedua diberikan kupon.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, selain ikhtiar sesama penduduk, pertubuhan turut mendapatkan dana daripada ahli korporat supaya penduduk yang terkesan dengan PKP sentiasa mendapat perhatian sekadar termampu.

Sementara itu, seorang penerima, Mariam Ibrahim yang juga seorang ibu tunggal berkata, perbelanjaan rumah bergantung kepada upah harian dia mengajar al-Quran dari rumah ke rumah.

“Ketika PKP ini saya tidak boleh mengambil upah mengajar mengaji, saya kena akur, ini juga demi keselamatan. Pendapatan saya sedikit terjejas.

“Saya bersyukur kerana pertubuhan ini mengambil berat nasib penduduk kampung dan dengan kedudukan saya tiada kerja masa ini, bantuan ini amat bermakna bagi keluarga saya,” katanya yang menyewa di Kampung Seribong.

Tuan Mohd Noor menyerahkan beras kepada Mariam bagi meringankan beban ibu tunggal tersebut.
Tuan Mohd Noor menyerahkan beras kepada Mariam bagi meringankan beban ibu tunggal tersebut.