Jangan bawa anjing keluar tanpa kebenaran


Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak bertungkus-lumus menjalankan pemeriksaan ke atas setiap rumah pemilik anjing di kawasan mula jangkitan di Pokok Assam, Taiping sejak semalam.
Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak bertungkus-lumus menjalankan pemeriksaan ke atas setiap rumah pemilik anjing di kawasan mula jangkitan di Pokok Assam, Taiping sejak semalam.
A
A
A

IPOH - Semua pemilik anjing di Mukim Taiping dan Bukit Gantang ditegah daripada membawa keluar mana-mana anjing dari daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak.

Pengarahnya, Dr Ahmad Shafri bin Hassan berkata, tegahan itu dibuat susulan keputusan kerajaan negeri mewartakan daerah berkenaan sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila atau rabies berkuatkuasa 14 Januari lalu.

Menurutnya, apabila sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila, langkah-langkah berikut perlu dipatuhi seperti tiada seorang pun boleh membawa keluar mana-mana anjing dari kawasan diwartakan wabak rabies tanpa kebenaran, pemilik anjing hendaklah menyimpan anjing di bawah kawalan ketat dan mengurungnya di kawasan tertutup.

"Adalah ditegaskan bahawa mana-mana anjing dijumpai berada dalam kawasan jangkitan tanpa mematuhi langkah-langkah tersebut akan berdepan risiko dimusnahkan.

"Seperti termaktub dalam Perintah Pemvaksinan Pencegahan Penyakit Anjing Gila, semua anjing berumur tiga bulan dan ke atas yang berada dalam kawasan Mukim Taiping dan Mukim Bukit Gantang, hendaklah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar daerah untuk disuntik dengan vaksin penyakit anjing gila.

"Ini akan membantu untuk mengawal penyakit rabies daripada terus merebak," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Ahmad Shafri berkata, di bawah Akta Binatang 1953 (Semakan - 2006) dan (Pindaan) 2013, mana-mana pemilik anjing didapati tidak mematuhi langkah-langkah kawalan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari 3 bulan.

Menurutnya, pihaknya amat mengharapkan kerjasama orang ramai di Mukim Taiping dan Mukim Bukit Gantang memastikan anjing peliharaan mereka mendapat suntikan vaksin rabies kerana penyakit ini boleh merebak daripada haiwan kepada manusia melalui air liur akibat gigitan atau terkena pada luka terbuka.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, semua pemilik diminta mengurung anjing dan kucing peliharaan masing-masing bagi mengelakkan berlakunya gigitan daripada anjing berkeliaran yang dikhuatiri telah dijangkiti rabies.

"Buat masa ini, elakkan daripada mendekati anjing berkeliaran. Sekiranya berlaku gigitan, bersihkan luka dengan sabun dan jangan berlengah untuk mendapatkan rawatan di klinik kerajaan," katanya.

Dr Ahmad Shafri berkata, setakat ini empat kes positif rabies dikesan di kawasan Taiping di mana satu kes dikesan melalui ujian terhadap seekor anjing yang menggigit manusia manakala tiga lagi kes dikesan melalui ujian terhadap anjing berkeliaran di kawasan sekitar kes gigitan tersebut berlaku.

"Sehubungan itu, orang ramai diminta melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan atau Pejabat Veterinar jika terdapat anjing berkeliaran di sekitar kediaman masing-masing ataupun mana-mana kawasan.

"Untuk sebarang aduan dan pertanyaan, sila hubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Larut Matang dan Selama di talian 05-8072703," katanya.