'Bukan janji bulan dan bintang, tetapi rekod dan Iltizam Johol'- Calon BN DUN Johol

Saiful Yazan (kiri) menyerahkan baju kepada Mohamed Khaled sebagai simbolik pelancaran jentera BN Johol.
Saiful Yazan (kiri) menyerahkan baju kepada Mohamed Khaled sebagai simbolik pelancaran jentera BN Johol.
A
A
A

KUALA PILAH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman tampil dengan lima iltizam sebagai komitmen untuk meneruskan agenda pembangunan kawasan itu.

Menurutnya, iltizam berkenaan sekali gus mencerminkan keyakinan bahawa BN mempunyai kekuatan untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan membina masa depan Johol.

"Saya tidak datang menjanjikan bulan dan bintang tetapi saya datang dengan rekod yang boleh dinilai. Komitmen saya jelas, bahawa kerja yang telah dimulakan mesti disambung.

"Hasil yang telah dicapai mesti diperkukuh dan Johol mesti diwariskan dalam keadaan yang lebih baik. Dulu kita bermula dengan Tekad, hari ini kita melangkah dengan Iltizam," katanya ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera BN N.19 Johol di sini pada Ahad.

Hadir menyempurnakan majlis berkenaan,Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pada pilihan raya lalu, Saiful Yazan membawa Tekad Hebatkan Johol yang berdiri atas lima asas, iaitu pendidikan, pembangunan, kebajikan, pertanian dan pelancongan.

Pada PRN kali ini, Saiful Yazan yang juga penyandang kerusi berkenaan akan berdepan dengan calon dari Pakatan Harapan (PH) Mohd Zailan Mohd Munawar.

Mengulas lanjut, Saiful Yazan berkata, Iltizam Johol dibina berasaskan lima komitmen utama iaitu ilmu, kemudahan, kasih, rezeki dan warisan sebagai pelan pembangunan kawasan itu bagi tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, di bawah Iltizam Ilmu, usaha memperluaskan program tuisyen, bimbingan akademik dan bantuan kepada pelajar akan diteruskan, selain memberi penekanan kepada kemahiran digital, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan latihan kerjaya bagi melahirkan generasi yang mampu bersaing.

Artikel Berkaitan:

"Iltizam Kemudahan pula memberi fokus kepada usaha memperjuangkan pembinaan dan menaik taraf jalan kampung, lampu jalan, longkang, dewan, padang, kemudahan sekolah, capaian internet serta perkhidmatan asas mengikut keutamaan dan kemampuan.

"Saya tidak menjanjikan semua masalah dapat diselesaikan dalam sehari tetapi setiap isu akan direkodkan, dipantau dan terus diperjuangkan. Johol bukan sekadar perlu dijaga tetapi mesti dinaik taraf," katanya.

Beliau berkata, menerusi Iltizam Kasih, program Ziarah Kasih dan bantuan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit serta keluarga yang ditimpa musibah akan diperkukuh supaya penyampaian bantuan lebih tersusun, cepat dan tepat.

Dalam masa sama, katanya, Iltizam Rezeki akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi setempat melalui pertanian moden, perusahaan kecil, produk desa dan ekonomi digital bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.

"Kita mahu lebih banyak peluang diwujudkan di Johol supaya anak-anak kita tidak perlu meninggalkan kampung hanya kerana tiada pekerjaan. Tanah, kemahiran dan usaha rakyat mesti menjadi sumber rezeki Johol," katanya.

Saiful Yazan turut menegaskan bahawa Iltizam Warisan akan memastikan adat, sejarah dan identiti Johol terus dipelihara tanpa mengetepikan tuntutan pembangunan dan kemajuan.

Menurutnya, warisan perlu menjadi asas yang menyatukan masyarakat manakala pembangunan dalam bidang ilmu, teknologi dan ekonomi perlu terus diperkasakan demi masa depan generasi akan datang.

Beliau berkata, seluruh jentera BN juga diseru membawa mesej berasaskan fakta, rekod perkhidmatan dan adab ketika berkempen bagi meyakinkan rakyat bahawa parti itu mempunyai kemampuan untuk terus mentadbir serta membela kepentingan masyarakat.

"Peganglah pada usaha ini. Mari kita sambung kerja, bina masa hadapan dan pertahankan Johol dengan khidmat, fakta serta hasil.

"Johol harus dijaga, terus dibina dan diwariskan dengan sebaik-baiknya kepada generasi akan datang, sama-sama kita hebatkan Johol," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!