PRN Negeri Sembilan: Calon PH ziarah pusara isteri sebelum penamaan calon

Ahmad Shahir menziarahi pusara Allahyarham isterinya sebelum hadir ke pusat penamaan calon di Rembau pada Sabtu.
Ahmad Shahir menziarahi pusara Allahyarham isterinya sebelum hadir ke pusat penamaan calon di Rembau pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Ahmad Shahir Mohd Shah memulakan hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan menziarahi pusara Allahyarham isterinya sebelum hadir ke pusat penamaan calon di Rembau pada Sabtu.

Ahmad Shahir yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan menyatakan beliau memilih untuk menziarahi pusara insan yang disifatkannya sebagai tonggak kekuatan dalam setiap perjalanan hidup dan perjuangannya.

Menurutnya, Allahyarham isterinya sentiasa berada di sisi ketika melalui saat suka dan duka, selain tidak putus memberikan sokongan serta mendoakan setiap langkah yang diambil.

“Dialah insan yang sentiasa berada di sisi saya dalam setiap suka dan duka. Bersama-sama mengharungi ujian kehidupan, memberi kekuatan ketika saya lemah dan sentiasa mendoakan setiap langkah perjuangan yang saya pilih.

“Hari ini, walaupun jasadnya sudah tiada, doa, kasih sayang dan pengorbanannya tetap terpahat dalam hati saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata, ziarah tersebut turut disusuli dengan doa agar dikurniakan kekuatan, ketenangan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang menggalas amanah serta perjuangan dalam PRN.

“Dalam detik yang penuh bermakna ini, saya turut memohon kepada ALLAH SWT agar diberikan kekuatan, ketenangan dan dipermudahkan segala urusan dalam menggalas amanah serta perjuangan yang sedang saya lalui.

“Semoga setiap langkah yang diatur mendapat petunjuk dan keberkatan daripada-Nya,” katanya.

Ahmad Shahir merupakan calon PH bagi DUN Paroi yang akan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zain dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Nazree Mohd Yunus.

Artikel Berkaitan:

DUN Paroi menjadi antara kerusi tumpuan pada PRN Negeri Sembilan kali ini kerana mempunyai hampir 65,000 pengundi, sekali gus merupakan kawasan dengan jumlah pemilih terbesar di negeri itu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!