Gandingan serasi bawa tuah muncul juara saingan 2v2 EA FC PS5 di Riuh BOLA SINAR

SHAH ALAM - Keserasian yang dibina menerusi penyertaan dalam pelbagai kejohanan permainan bola sepak digital membuahkan hasil buat dua anak muda apabila muncul sebagai juara Kejohanan 2v2 EA FC PS5 sempena program Riuh BOLA SINAR x redOne Mobile x RTM di Restoran Hakim, Seksyen 7, di sini pada Ahad.
Gandingan Riezman Shafiy Syahrizol, 25, dan V. Divesh, 25, yang juga penuntut Management and Science University (MSU) membawa pulang hadiah wang tunai RM500 selepas menewaskan 31 pasangan lain dalam kejohanan berkenaan.
Menurut Riezman, mereka mengetahui mengenai pertandingan itu menerusi Facebook sebelum membuat keputusan untuk menyertainya.
"Kami memang selalu bergandingan dalam pertandingan EA FC sebelum ini, jadi sudah saling memahami corak permainan masing-masing.
"Sejak awal lagi sasaran kami memang mahu mara ke pentas akhir dan akhirnya kami berjaya capai apa yang diimpikan," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Divesh berkata, pengalaman beraksi bersama dalam beberapa kejohanan sebelum ini menjadi kelebihan buat mereka sepanjang saingan.
"Komunikasi antara kami sudah cukup baik kerana sering bermain sebagai satu pasukan, sebab itu kami lebih yakin untuk menghadapi setiap perlawanan.
"Kemenangan ini memang cukup bermakna dan menjadi pembakar semangat untuk terus menyertai pertandingan seperti ini pada masa akan datang," ujarnya.
Kejohanan tersebut menghimpunkan peserta berbilang kaum berusia 18 tahun ke atas yang mempamerkan kemahiran dalam permainan bola sepak digital EA FC menggunakan platform PlayStation 5 (PS5).
Pertandingan berlangsung menggunakan empat unit konsol PS5 yang disambungkan kepada empat televisyen pintar, sekali gus membolehkan beberapa perlawanan berlangsung serentak dalam suasana kompetitif.
Sorakan pengunjung yang memenuhi restoran berkenaan turut memeriahkan setiap aksi apabila setiap jaringan berjaya dihasilkan.
Ia secara langsung menjadikan kejohanan itu antara pengisian yang paling mendapat perhatian sepanjang program Riuh BOLA SINAR x redOne Mobile x RTM sempena tayangan akhir Piala Dunia FIFA 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

