Riuh Bola SINAR x redONE Mobile x RTM: Orang ramai mula penuhi Restoran Hakim seawal jam 5 petang

SHAH ALAM – Orang ramai mula memenuhi Restoran Hakim, di sini seawal jam 5 petang pada Ahad bagi memeriahkan program Riuh BOLA SINAR x redOne Mobile x RTM sempena tayangan langsung perlawanan akhir Piala Dunia 2026 yang berlangsung awal pagi Isnin.
Pengunjung dilihat hadir bersama ahli keluarga dan rakan-rakan bagi mendapatkan tempat terbaik untuk menyaksikan aksi kemuncak kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu menerusi tayangan skrin gergasi yang disediakan penganjur.
Menjelang malam, suasana di restoran berkenaan dijangka semakin rancak dengan kehadiran pengunjung yang terus meningkat.
Rata-rata mengambil peluang menyertai pelbagai aktiviti dan peraduan yang dianjurkan sambil menikmati hidangan serta menghangatkan debaran menjelang sepak mula perlawanan.
Program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk cabutan bertuah, jualan Ehsan Rahmah, pertandingan serta pemberian hadiah kepada pengunjung, sekali gus menambahkan kemeriahan malam final Piala Dunia 2026.
Perlawanan akhir yang menemukan Sepanyol dan Argentina menjadi tumpuan peminat bola sepak di seluruh dunia, dengan penyokong kedua-dua pasukan tidak melepaskan peluang berkumpul bagi memberikan sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing.
Penganjur menjangkakan jumlah pengunjung akan terus meningkat sehingga sepak mula perlawanan pada awal pagi Isnin, sekali gus mewujudkan suasana penuh semangat dan kemeriahan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan menerusi penganjuran program ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

