Bangunan rumah kedai senget sebelum runtuh, hempap dua kereta

MELAKA – Sebuah bangunan rumah kedai dua tingkat di Taman Kota Laksamana yang dipercayai sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian tanpa kelulusan runtuh dan menghempap dua kenderaan yang diparkir bersebelahan premis berkenaan, petang Sabtu.
Runtuhan awal dilaporkan berlaku sekitar jam 4.45 petang sebelum disusuli runtuhan kedua yang lebih besar pada jam 5.23 petang, menyebabkan sebuah Toyota Vios dan Proton Iriz yang diparkir bersebelahan bangunan itu rosak akibat dihempap serpihan konkrit serta sisa runtuhan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, semakan awal mendapati kerja-kerja pengubahsuaian premis berkenaan dijalankan tanpa sebarang kelulusan sah daripada pihak berkuasa tempatan.

“Maklumat awal daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengesahkan kerja-kerja pengubahsuaian itu tidak mendapat kebenaran.
“Premis itu sebelum ini dipercayai dijadikan rumah burung walit dan pemiliknya dikatakan sedang melakukan kerja-kerja ubah suai untuk dijadikan sebuah kafe,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Difahamkan, tiada mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.
Chee Leong berkata, pihaknya memandang serius isu keselamatan struktur bangunan di kawasan terbabit dan menggesa MBMB serta kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Kerja pembinaan tanpa kelulusan tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengundang risiko kepada orang awam.
“Pihak berkuasa juga perlu menyiasat status pelesenan operasi burung walit yang dijalankan di premis ini sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga buah-buahan, Hong Hiew Khim, 65, berkata, dia menyedari bangunan berkenaan kelihatan senget kira-kira 15 minit sebelum runtuh.
“Sebelum kejadian, saya nampak struktur bangunan itu sudah senget seperti hendak runtuh, lalu saya terus memberitahu isteri.
“Tidak sampai 15 minit kemudian, bangunan itu runtuh dengan bunyi yang sangat kuat. Mujur tiada orang yang terperangkap,” katanya.
Seorang lagi peniaga nasi ayam yang hanya mahu dikenali sebagai Ho, 60, berkata, dia sedang melayan pelanggan ketika terdengar bunyi dentuman kuat dari arah bangunan tersebut.
“Kami semua terus keluar dari kedai untuk melihat apa yang berlaku. Mujur ketika itu tiada orang berada berhampiran bangunan tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

