Kira-kira 10,000 penduduk Iran terputus bekalan air susulan serangan AS

ISTANBUL - Serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas sebuah loji penyahgaraman air di perkampungan pesisir pantai Bunji di wilayah Hormozgan tenggara Iran, menyebabkan kira-kira 10,000 penduduk terputus bekalan air, menurut seorang pegawai wilayah pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Serangan itu "menjejaskan sepenuhnya bekalan air minuman kepada 20 kampung yang dihuni kira-kira 10,000 penduduk," menurut agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air dan Air Sisa Hormozgan.
"Penduduk di kampung-kampung ini kini berdepan krisis kekurangan bekalan air," tambah pegawai berkenaan.
Ketegangan di Asia Barat terus memuncak apabila AS dan Iran saling melancarkan serangan sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Peningkatan konflik ketenteraan itu berlaku meskipun memorandum persefahaman (MoU) hasil pengantaraan Pakistan telah ditandatangani pada Jun lepas bagi menamatkan perang dan mencapai perjanjian damai yang berkekalan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
