Iraq-AS meterai 48 perjanjian

Trump (kanan) menerima kunjungan al-Zaidi di Pejabat Oval di Rumah Putih pada awal minggu lalu. - Foto AFP
Trump (kanan) menerima kunjungan al-Zaidi di Pejabat Oval di Rumah Putih pada awal minggu lalu. - Foto AFP
A
A
A

BAGHDAD - Iraq kembali berada dalam 'cengkaman' Amerika Syarikat (AS) selepas ia menandatangani puluhan perjanjian dan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat berpusat di Washington yang sebahagian besarnya tertumpu kepada sektor minyak.

Kesepakatan itu dimeterai ketika lawatan Perdana Menteri, Ali al-Zaidi sebagai sebagai sebahagian daripada usaha merangsang ekonomi negara itu yang terjejas akibat kehilangan hasil eksport minyak susulan konflik di Asia Barat.

"Sebanyak 48 perjanjian, memorandum persefahaman (MoU), perjanjian kerjasama dan deklarasi perkongsian ditandatangani melibatkan entiti sektor awam dan swasta," menurut kenyataan pejabat media Perdana Menteri Iraq pada Sabtu.

Antara perjanjian yang dimeterai termasuk kerjasama membabitkan Kementerian Minyak dan Kementerian Elektrik Iraq dengan syarikat gergasi seperti ExxonMobil, KBR, GE Vernova, Shell dan Halliburton.

Selain itu, Iraq turut memeterai perjanjian dengan syarikat peneraju komunikasi satelit global, Starlink dan pembinaan saluran paip minyak mentah utama yang menghubungkan dengan Syria.

Baghdad yang kaya dengan sumber minyak sedang berusaha bangkit daripada kesan peperangan dan ketidakstabilan selama beberapa dekad yang turut berpunca daripada kempen pencerobohan AS pada 2003.

Negara itu masih berdepan pelbagai cabaran termasuk infrastruktur yang daif, perkhidmatan awam yang lemah, salah urus dan amalan rasuah yang berleluasa.

Negara itu juga amat memerlukan rangsangan ekonomi selepas kehilangan hasil pendapatan susulan penghentian eksport minyak akibat konflik di Asia Barat.

Pada Selasa lalu, Presiden Donald Trump memuji Zaidi sebagai seorang 'juara' ketika menerima kunjungan pemimpin itu di Rumah Putih.

Artikel Berkaitan:

Pelantikan ahli perniagaan itu mendapat sokongan penuh Trump selepas pemimpin Republikan tersebut menolak calon lain.

Sejak sekian lama, Iraq mengamalkan dasar berkecuali dengan mengekalkan keseimbangan hubungan antara dua kuasa saling bersaing iaitu AS dan negara jirannya, Iran dalam usaha memelihara kestabilan politik serta keselamatan negaranya. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!