Isteri Netanyahu didakwa mohon perlindungan seumur hidup

BAITULMAQDIS – Isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu dilaporkan memohon perlindungan keselamatan jangka panjang atau seumur hidup daripada agensi keselamatan negara, Shin Bet untuk dirinya dan dua anak mereka.
Menurut beberapa media Ibrani termasuk Channel 12 dan Ynet, permohonan itu dikemukakan dalam satu pertemuan dengan Ketua Shin Bet, David Zini.
Laporan itu mendakwa Sara mahu perlindungan keselamatan diteruskan tanpa mengira keputusan pilihan raya akan datang.
Beliau juga dilaporkan meminta tempoh perlindungan selama lima tahun untuk dirinya serta dua anaknya, Yair dan Avner berkuat kuasa serta-merta.
Permohonan itu dibuat susulan kebimbangan bahawa keluarga Netanyahu mungkin kehilangan perlindungan keselamatan sekiranya Benjamin Netanyahu tidak lagi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Situasi sama pernah berlaku selepas pilihan raya pada 2021 apabila perlindungan keselamatan untuk Sara serta dua anaknya ditamatkan enam bulan selepas Netanyahu meninggalkan jawatan.
Di bawah undang-undang Israel, seorang bekas Perdana Menteri layak menerima perlindungan keselamatan sehingga 20 tahun selepas meninggalkan jawatan.
Keluarga Netanyahu dilaporkan mahu aturan sama diperluaskan kepada isteri dan anak-anak di bawah kategori 'keluarga bekas Perdana Menteri'.
Menurut laporan media berkenaan, pihak keluarga berhujah ancaman keselamatan yang semakin meningkat, termasuk susulan konflik dengan Iran, memerlukan perlindungan tambahan.
Bagaimanapun, sumber yang dipetik media berkenaan mendakwa penilaian keselamatan semasa tidak menunjukkan tahap ancaman yang memerlukan kawalan keselamatan rapat untuk tempoh panjang.
Unit Perlindungan Rapat 730 dilaporkan menyampaikan penilaian tersebut kepada Ketua Shin Bet, namun beliau setakat ini belum meluluskan permohonan berkenaan.
Sebuah jawatankuasa menteri yang dipengerusikan Netanyahu dilaporkan dijadual membincangkan cadangan itu, namun mesyuarat ditangguhkan sementara menunggu pandangan rasmi daripada agensi keselamatan.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Israel menafikan laporan berhubung permohonan tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

