PRN Negeri Sembilan: DUN Pilah saksi pertembungan dua calon wanita

KUALA PILAH - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah menyaksikan pertembungan dua calon wanita apabila penyandang, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim daripada Pakatan Harapan (PH) dicabar S Leza Md Yasin daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Pilah Nawal Mohammed Amin di Pejabat Daerah dan Tanah, di sini pada Sabtu selepas proses penamaan calon ditutup.
Terdahulu, Noorzunita Begum menyerahkan borang penamaan calon pada 9.03 pagi, diikuti S. Leza pada 9.09 pagi.
Sementara itu, PRN Negeri Sembilan turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru di kerusi DUN Juasseh, Seri Menanti dan Senaling, manakala Johol berdepan dengan pertembungan satu lawan satu.
Bagi DUN Juasseh, calon yang bertanding adalah antara Mohd Aidil Abdullah (PH), penyandang Datuk Ismail Lasim (BN) dan Mohd Zuhami Md Yusof (Bersatu), manakala DUN Seri Menanti melibatkan Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa (PH), penyandang Muhammad Sufian Maradzi (BN) dan Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharuddin (Bersatu).
Keadaan sama turut berlaku di DUN Senaling yang menyaksikan saingan antara Mohd Hanis Mohd Alimin (PH), Mohamad Qayyum Abd Jalil (BN) dan Mohd Izzafi Khan (Bersatu).
DUN Johol pula membabitkan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Zailan Mohd Munawar daripada PH dengan penyandang Datuk Saiful Yazan Sulaiman (BN).
Terdahulu, Menteri Pendidikan yang juga Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dilihat mengiringi calon-calon PH berkenaan bagi menghantar borang pencalonan.
Turut hadir memberikan sokongan kepada calon PH ialah Menteri Belia dan Sukan yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Mohammed Taufiq Johari serta Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.
Selain itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi UMNO Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengiringi calon-calon BN bagi DUN berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian pada 1 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
