Beroperasi tanpa lesen, salah sebuah premis Network School dikenakan notis henti niaga

ISKANDAR PUTERI - Sebuah daripada dua premis yang digunakan Network School di Forest City didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan, sekali gus dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hasil pemeriksaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mendapati syarikat itu beroperasi di dua premis, namun hanya satu premis mempunyai lesen pejabat urusan yang sah.
"Hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu beroperasi di dua premis, dengan satu premis mempunyai lesen pejabat urusan yang sah, manakala satu lagi didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun dimiliki oleh seorang warganegara tempatan.
"Selain itu, syarikat berkenaan turut didapati melanggar syarat jenis perniagaan yang dibenarkan apabila menggunakan premis berlesen sebagai ruang kelas serta menjalankan promosi perniagaan tanpa mengemukakan permohonan secara terperinci," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, susulan pelanggaran itu, MBIP telah mengeluarkan Notis Henti Niaga terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah serta Notis Lesen Iklan di bawah Seksyen 107(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mempamerkan papan iklan yang tidak mematuhi syarat kelulusan.
Onn Hafiz menegaskan, MBIP akan meneruskan siasatan terhadap semua aspek di bawah bidang kuasanya dan tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang berkuat kuasa.
Sehubungan dengan itu, kerajaan Johor menggesa Kerajaan Persekutuan membuat keputusan segera, jelas dan muktamad berhubung status individu yang terlibat serta operasi Network School di Forest City susulan isu yang dibangkitkan baru-baru ini.
"Sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Di peringkat negeri, MBIP telah menjalankan pemeriksaan terhadap pematuhan lesen perniagaan, penggunaan premis serta syarat papan iklan yang digunakan oleh syarikat berkenaan," ujarnya.
Sebelum ini, tular dakwaan mengatakan wujud warga Israel yang menyertai program yang dikenali sebagai Network School di Forest City, Iskandar Puteri.
Onn Hafiz Ghazi pada Selasa, mengarahkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan bahawa warga Israel, yang dilarang memasuki Malaysia, menjadi sebahagian daripada komuniti Network School dan didakwa memasuki negara ini menggunakan pasport kedua.
Susulan itu, Jabatan Imigresen Malaysia menjalankan pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara dan mendapati kesemua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

