Isu Network School: 256 warga asing miliki Pas Lawatan Sosial, 10 pemegang Pas PLIK - JIM

SHAH ALAM – Seramai 256 daripada 266 warga asing dari 40 negara yang diperiksa berhubung isu operasi Network School di Forest City, Johor dikesan mempunyai Pas Lawatan Sosial, manakala 10 lagi merupakan pemegang Pas PLIK (Nomad).
Semakan terhadap 10 pemegang Pas PLIK (Nomad) berkenaan mendapati empat merupakan warga Amerika Syarikat, tiga warga Rusia, dua warga Australia dan seorang warga India.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada jumlah keseluruhan warga asing yang diperiksa, 179 merupakan lelaki dan 87 wanita.
Menurutnya, setakat ini Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dibuat dan pelbagai agensi juga sedang menjalankan siasatan berdasarkan skop serta peranan masing-masing.
“Bagi JIM, kami akan meneruskan siasatan dan berkongsi dapatan dengan agensi lain,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Zakaria sebelum itu memaklumkan bahawa dakwaan terdapat warga Israel menyertai program Network School di Forest City, Johor menggunakan pasport negara kedua masih belum dapat disahkan berikutan tiada bukti ditemukan setakat ini.
Jelas beliau, siasatan berkaitan isu tersebut masih diteruskan oleh agensi terlibat.
“Ini bagi mendapatkan gambaran menyeluruh sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” ujarnya.
Difahamkan, Pas PLIK (Nomad) merupakan pas yang dikeluarkan JIM kepada golongan profesional digital yang bekerja di Malaysia.
Pada Selasa, JIM dilaporkan menjalankan pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara di Forest City, Johor susulan isu berkenaan.
Semakan awal mendapati semua individu itu memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.
Sebelum itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan sedang menjalankan semakan serta siasatan menyeluruh berhubung isu operasi Network School di Forest City, Johor.
KDN dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, siasatan merangkumi semakan identiti dan kewarganegaraan individu terlibat, status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, jenis pas atau kemudahan imigresen serta tujuan kemasukan ke Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
