Rai kehangatan Piala Dunia 2026

SHAH ALAM - Bahang Final Piala Dunia 2026 bakal dirasai lebih dekat apabila Sinar Harian dengan kerjasama redONE menganjurkan Riuh Bola Sinar x redONE: World Cup Final Viewing Party.
Program ini bakal menghimpunkan peminat bola sepak daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyaksikan perlawanan paling dinanti di dunia dalam suasana penuh kemeriahan.
Acara akan berlangsung bermula jam 5 petang pada 19 Julai hingga jam 5 pagi, 20 Julai ini, bertempat di Restoran Hakim, Seksyen 7, di sini.
Ketua Jabatan Komersial, Pemasaran & Komuniti Sinar Harian, Rosli Ahmad berkata, penganjuran program itu bukan sekadar memanfaatkan fenomena Piala Dunia, sebaliknya menjadi platform menyatukan masyarakat melalui minat yang dikongsi bersama.
"Apabila tibanya Piala Dunia, kita dapat melihat bagaimana rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang bersatu atas satu minat yang sama, iaitu bola sepak. Semangat inilah yang ingin dibawa menerusi Riuh Bola Sinar x redONE.
"Sebagai media yang membawa aspirasi Suara Rakyat, kami mahu mencipta satu pengalaman yang bukan sahaja menghubungkan peminat, malah memberi ruang kepada komuniti untuk berkumpul, berinteraksi dan meraikan detik bersejarah ini bersama-sama," katanya.
Rosli berkata, selain tayangan langsung di skrin besar, pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik.
Antaranya termasuk kejohanan EA FC PS5 (2 lawan 2), cabaran 3 shots challenge, teka skor, gelecek bola mantap, gol raikan juara, ulasan bola pro dan kuiz interaktif Kahoot.
Turut diadakan ialah sesi bual santai bersama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi.
"Matlamat kami adalah untuk menjadikan acara ini lebih daripada sekadar aktiviti menonton bola sepak. Kami mahu ia menjadi satu festival komuniti yang menawarkan pengalaman menyeluruh kepada peminat sukan, keluarga dan generasi muda.
"Dalam masa yang sama, ia menjadi platform terbaik kepada rakan penaja untuk berhubung secara terus dengan khalayak menerusi aktiviti pengalaman jenama yang lebih interaktif dan bermakna," jelas beliau.
Selain acara di lokasi, Sinar Harian menerusi Sinar Daily turut membawakan siri Sports Matters: Football Fever.
Siri ini menampilkan beberapa episod perbincangan bersama penganalisis, bekas pemain dan pemerhati bola sepak bagi mengupas perkembangan Piala Dunia daripada perspektif tempatan.
Rosli menambah, gabungan kandungan digital, program studio dan acara lapangan membolehkan acara ini menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada kaki bola.
Program ini mendapat kerjasama dengan pelbagai agensi dan organisasi termasuk Restoran Hakim, Difflam, Ehsan, Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Selangor, Majlis Sukan Negeri Selangor serta Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Justeru, orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara dan bersama-sama mencipta pengalaman menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 dalam suasana yang lebih meriah dan penuh semangat kesukanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

