2,669 jersi tiruan Piala Dunia bernilai RM135,000 dirampas

JOHOR BAHRU – Sebanyak 2,669 helai jersi tiruan pelbagai jenama terkenal bernilai RM135,000 dirampas hasil sebuan di tiga premis di sekitar bandar raya ini dan Kota Tinggi pada Khamis.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, premis terbabit menawarkan pelbagai jenis jersi pasukan bola sepak yang memaparkan cap dagangan beberapa jenama terkenal tanpa kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar.
Menurutnya, serbuan dijalankan hasil risikan serta aduan awam berkaitan aktiviti penjualan barangan tiruan, khususnya menjelang musim kejohanan Piala Dunia 2026.
“Hasil pemeriksaan dan pengesahan awal oleh wakil pengadu mendapati terdapat alasan munasabah untuk mempercayai kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] telah dilakukan.
“Kesalahan itu melibatkan pemilikan, jagaan atau kawalan bagi tujuan perdagangan barang yang menggunakan cap dagangan secara salah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, tiga individu warga tempatan terdiri daripada pemilik dan penjaga premis turut ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dalam pengurusan operasi perniagaan berkenaan
Katanya, kesemua premis disiasat mengikut akta sama dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

