[VIDEO] 'Saya serah kepada siasatan' – Anwar ulas kenyataan Poay Tiong isu solat Jumaat

A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat seorang Ahli Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama ketika mengunjungi Terengganu baru-baru ini.

Anwar menegaskan, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen terbabit yang mempersoalkan arahan penutupan premis perniagaan bagi memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.

“Kenyataan Ahli Parlimen itu saya tidak setuju, ia jelas walaupun telah minta maaf.

“Saya serah kepada siasatan. Apakah kenyataan dibuat selepas mohon maaf, itu keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Melaka yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong membangkitkan kebimbangan mengenai arahan penutupan premis perniagaan antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat.

Beliau mendakwa, pelaksanaan peraturan itu secara menyeluruh boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.

Poay Tiong turut mengaitkan arahan itu dengan pendekatan dasar agama konservatif dalam pentadbiran awam serta kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, siasatan berhubung sajak Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang ditafsirkan sebagai menghina institusi diraja perlu diteruskan.

Artikel Berkaitan:

“Soal sajak Pasir Gudang, tanya sebagai sahabat saya tidak cenderung, tapi sajak itu ditafsir sebagai menghina institusi raja.

“Isu yang menyentuh institusi raja selalunya disegerakan (dan itu) saya harus akui.

“Apakah semua sentuhan itu mesti berakhir dengan pendakwaan, itu tidak benar. Jadi dalam kes ini jangan kita halang siasatan,” jelasnya.

Anwar turut menafikan dakwaan kerajaan mengamalkan pendekatan dwistandard dalam mengambil tindakan terhadap isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) khususnya apabila membabitkan penyokong kerajaan.

“Kalau nak kata ada dua darjat saya tidak setuju, (sebaliknya) menyemak semua kes-kes termasuk pimpinan parti pembangkang itu banyak tetapi tidak semua berakhir pendakwaan, cuma siasatan,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!