Siapa bakal julang trofi Piala Dunia 2026? Saksikan penentuannya di Riuh BOLA SINAR x redONE Mobile x RTM

SHAH ALAM – Debaran final Piala Dunia FIFA 2026 semakin memuncak apabila juara Eropah, Sepanyol bakal berdepan juara bertahan dunia, Argentina dalam aksi penentuan yang berlangsung di Stadium New York New Jersey, East Rutherford, Amerika Syarikat pada Isnin, jam 3 pagi waktu Malaysia.
Pertembungan dua gergasi bola sepak dunia itu bukan sahaja menjadi tumpuan jutaan peminat di seluruh dunia, malah menyaksikan perebutan hadiah kemenangan terbesar dalam sejarah Piala Dunia.
Menurut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$50 juta (kira-kira RM204.8 juta) daripada keseluruhan agihan kewangan rekod AS$727 juta (kira-kira RM2.98 bilion) bagi edisi 2026.
Sepanyol memburu gelaran dunia kedua selepas kejayaan pada 2010, manakala Argentina mengintai kejuaraan keempat selepas muncul juara pada 1978, 1986 dan 2022.
Bagi peminat bola sepak tempatan yang mahu merasai kemeriahan malam final bersama-sama penyokong lain, Riuh Bola SINAR HARIAN x redONE x RTM di Restoran Hakim, Seksyen 7, Shah Alam menawarkan tayangan secara langsung menerusi skrin gergasi.
Suasana kemeriahan bermula lebih awal menerusi pelbagai aktiviti menarik menjelang sepak mula termasuk cabutan bertuah, permainan bola di reruai, kuiz interaktif serta pelbagai aktiviti sampingan yang disediakan buat pengunjung.
Program itu setakat ini telah menghimpunkan ratusan peminat bola sepak yang hadir bukan sahaja untuk menyaksikan aksi kemuncak Piala Dunia 2026, malah berkongsi debaran dan kemeriahan bersama keluarga serta rakan-rakan dalam suasana penuh semangat kesukanan.
Kini, hanya satu persoalan yang tinggal. Mampukah Sepanyol menambah koleksi kejuaraan dunia atau Argentina terus mengukuhkan legasinya dengan gelaran keempat? Jawapannya bakal diketahui sebaik wisel penamat dibunyikan di New Jersey.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
