Zara Qairina berdepan cabaran selepas fasa peralihan sekolah - Perunding Psikiatri

Allahyarham Zara Qairina
Allahyarham Zara Qairina
A
A
A

KOTA KINABALU - Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa Zara Qairina Mahathir berdepan pelbagai cabaran selepas melalui fasa peralihan daripada sekolah rendah ke sekolah menengah khususnya dalam tempoh beberapa bulan pertama.

Pakar Perunding Psikiatri, Dr Wong Haw Huo berkata, remaja berumur 13 tahun itu terpaksa menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran baharu selepas memasuki sekolah berasrama penuh termasuk persekitaran yang lebih tertutup dan berhierarki, membina persahabatan baharu serta mempelajari cara berinteraksi dengan pelajar senior.

Merujuk kepada laporan yang disediakan oleh beliau dan rakannya, Profesor Dr Aili Hanim Hashim yang turut membandingkan profil tingkah laku Zara Qairina, Dr Haw Huo berkata, pelajar itu dilihat berdepan kesukaran dalam hubungan dengan rakan sebaya serta mengalami ketegangan dengan mereka pada bulan-bulan pertama selepas memasuki sekolah menengah.

"Terdapat beberapa petunjuk seperti khabar angin, tuduhan, ejekan, diperlekeh malah pada beberapa bulan pertama iaitu sekitar April hingga Mei, dia disyaki terlibat dalam kes kecurian.

"Pemahaman mengenai faktor kerentanan dalam kalangan rakan sebaya di peringkat ini tidak begitu mendalam berbanding ketika di sekolah rendah dan keadaan yang berlaku menyebabkan tekanan dihadapi meningkat secara beransur-ansur dalam tempoh berkenaan,” katanya pada prosiding inkues berkaitan kematian pelajar Tingkatan Satu itu hari ini.

Dr Haw Huo berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, mewakili ibu Zara Qairina, yang meminta beliau menggambarkan keadaan Zara Qairina sebelum dan selepas memasuki sekolah berasrama.

Beliau berkata, selepas meneliti semua perkara, pelajar itu ialah seorang remaja yang amat terdedah kepada kerentanan, membesar dengan ibunya, Noraidah Lamat dalam hubungan rapat serta dipenuhi kasih sayang dan saling mengambil berat.

Katanya si mati digambarkan sebagai seorang yang ceria, bertenaga, yakin dan berkebolehan, mudah bergaul sama ada dengan rakan sebaya atau golongan dewasa selain cemerlang dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum ketika di sekolah rendah.

Dr Haw Huo juga berkata terdapat kepercayaan yang kukuh antara Zara Qairina dan ibunya, yang disokong oleh bukti daripada pelbagai sumber termasuk kekerapan komunikasi kerap melalui mesej, perbualan lisan serta rakaman audio.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Zara Qairina juga berhasrat untuk memperbaiki pencapaian di sekolah menengah khususnya dalam bidang akademik dan bersikap terbuka dengan ibunya serta tidak cuba menyembunyikan kesukaran yang dihadapi.

Berdasarkan rakaman audio antara Zara Qairina dan ibunya, Dr Haw Huo berkata, pelajar itu didapati berkongsi bukan sahaja mengenai persekitaran sekolah malah turut mendapatkan nasihat mengenai cara menangani pelbagai situasi.

"Di sini kita boleh melihat bukti mengenai keterbukaan dan ketelusan komunikasi yang berasaskan kepercayaan,” katanya.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi. - Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!