Status Dr Noor Aishah sebagai saksi pakar dipertikai, inkues Zara Qairina ditangguh

KOTA KINABALU - Inkues kematian Zara Qairina Mahathir pada Selasa ditangguhkan selepas timbul pertikaian berhubung status dan kelayakan Dr Noor Aishah Rosli sebagai saksi pakar dalam prosiding tersebut.
Koroner Amir Shah Amir Hassan mengarahkan semua pihak mengemukakan hujahan bertulis sebelum memutuskan sama ada Dr Noor Aishah boleh meneruskan keterangannya sebagai saksi pakar atau sebaliknya.
Sebelum itu, Pegawai Pengendali inkues, Nahrah Dollah membangkitkan bantahan supaya saksi berkenaan tidak meneruskan keterangannya atas alasan beliau tidak berdaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.
Nahrah merujuk kepada Seksyen 33(1)(c) akta berkenaan yang tidak membenarkan seseorang mengemukakan diri sebagai pakar di mahkamah sekiranya tidak memenuhi syarat pendaftaran ditetapkan.
Bagaimanapun, peguam Shahlan Jufri membantah permohonan itu dengan alasan keputusan sama ada seseorang saksi itu layak dianggap sebagai pakar atau tidak adalah perkara yang perlu diputuskan oleh mahkamah.
"Pertama sekali, saksi ini sudah pun memberikan keterangan. Prosiding inkues juga sudah berada di pertengahan. Selain itu, laporan yang dirujuk adalah laporan yang disediakan oleh beliau sendiri.
"Pada pandangan saya, keputusan sama ada saksi ini layak dianggap sebagai pakar atau tidak adalah perkara yang perlu diputuskan oleh mahkamah.
"Kami sedar mengenai akta tersebut dan seksyen yang dirujuk oleh Pegawai Pengendali, namun ketika ini saksi sudah pun memberi keterangan dan prosiding sudah berada di pertengahan," katanya.
Shahlan dari pasukan yang mewakili ibu Zara Qairina berkata, pemeriksaan terhadap saksi wajar diteruskan dan isu mengenai kelayakan beliau boleh dihujahkan selepas semua keterangan selesai sebelum keputusan dibuat oleh mahkamah.
Sementara itu, peguam yang mewakili salah seorang remaja yang dikaitkan dalam kematian Zara Qairina, Datuk Ram Singh berkata, beliau sememangnya merancang untuk menyoal saksi secara mendalam berkaitan kelayakannya.
"Sebenarnya saya mempunyai kira-kira 20 hingga 30 soalan berkaitan kelayakan beliau. Berdasarkan keterangan beliau hari ini dan soalan yang dikemukakan oleh Pegawai Pengendali tadi, saya juga berpendapat isu kepakaran dan kelayakan beliau perlu diselesaikan terlebih dahulu.
"Jika beliau bukan Ahli Psikologi Klinikal yang berdaftar, maka perkara itu menjadi satu isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah. Saya tidak mahu perkara ini menyebabkan prosiding menjadi tidak sah atau dijadikan alasan untuk rayuan pada masa akan datang," katanya.
Menurut Ram, sekiranya Dr Noor Aishah bukan seorang pakar, mahkamah perlu menentukan dalam kapasiti apa beliau memberi keterangan.
"Kalau beliau bukan seorang pakar, maka dalam kapasiti apa beliau memberi keterangan? Sebagai kaunselor? Beliau sendiri mengaku beliau seorang kaunselor.
"Selain itu, beliau bukan pakar psikiatri dan bukan pakar psikiatri forensik. Beliau hanya seorang kaunselor, malah bukan pun Ahli Psikologi Klinikal.
"Jadi atas kapasiti apa beliau hendak mempertikaikan pandangan Dr Chua (Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Dr Chua Sze Hung)," katanya.
Selepas mendengar hujahan semua pihak berkepentingan, Amir Shah berkata, mahkamah memerlukan hujahan bertulis berkaitan isu kelayakan saksi serta kesan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 terhadap keterangannya.
"Saya menunggu semua pihak mengemukakan hujahan dengan mengambil kira Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.
"Prosiding akan disambung semula esok pada jam 11.30 pagi. Sekiranya saya tidak menerima hujahan bertulis, saya hanya akan membenarkan penjelasan secara lisan yang ringkas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
