Inkues Zara Qairina: Status Dr Noor Aishah sebagai saksi pakar diputuskan petang ini

Dr Noor Aishah (dua dari kiri) hadir ke Mahkamah Koroner Kota Kinabalu baru-baru ini bagi memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir. (Gambar kecil).
Dr Noor Aishah (dua dari kiri) hadir ke Mahkamah Koroner Kota Kinabalu baru-baru ini bagi memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir. (Gambar kecil).
A
A
A

KOTA KINABALU - Mahkamah Koroner dijadualkan membuat keputusan pada petang Rabu, sama ada Dr Noor Aishah Rosli dibenarkan meneruskan keterangannya sebagai saksi dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Keputusan itu akan dibuat selepas Koroner Amir Shah Amir Hassan mendengar hujahan kira-kira sejam daripada pihak-pihak yang terlibat berhubung status dan kelayakan Dr Noor Aishah sebagai saksi pakar.

Pertikaian berhubung status Dr Noor Aishah timbul selepas beliau mengakui tidak berdaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774), walaupun mempunyai kelayakan serta pengalaman luas dalam bidang psikologi dan kaunseling.

Pegawai Pengendali dalam inkues tersebut, Nahrah Dollah, berhujah bahawa Dr Noor Aishah perlu mematuhi keperluan pendaftaran di bawah Akta 774 sebelum boleh diterima sebagai saksi pakar.

Beliau berkata, walaupun Seksyen 45 Akta Keterangan 1950 membenarkan keterangan daripada individu yang mempunyai kemahiran atau pengetahuan khas, peruntukan khusus di bawah Akta 774 perlu dipatuhi terlebih dahulu.

“Walaupun Seksyen 45 wujud, beliau perlu melepasi Seksyen 33 terlebih dahulu. Akta ini adalah untuk mengawal selia orang yang mendakwa diri mereka pakar. 

"Jika beliau tidak mahu tertakluk kepada keperluan itu bagi amalan yang beliau lakukan, apa kredibiliti keterangannya di mahkamah?” katanya.

Nahrah berkata, berdasarkan keterangan setakat ini, Dr Noor Aishah juga gagal memberikan penjelasan terperinci mengenai latihan sebenar yang dilaluinya, termasuk dakwaan mempunyai kira-kira 23,000 jam klinikal.

“Hanya sekeping kertas yang menyatakan jumlah jam klinikal tidak mencukupi. Kita perlu tahu apakah latihan sebenar yang beliau lalui, kursus yang dihadiri dan di mana pengalaman klinikal itu diperoleh. Ini adalah perkara asas dalam menentukan kepakaran seseorang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Shahlan Jufri menyatakan bahawa dalam konteks inkues, mahkamah mempunyai ruang yang lebih luas untuk menerima keterangan yang boleh membantu Koroner membuat keputusan pada akhir prosiding.

“Ini adalah inkues, selagi keterangan itu boleh membantu Koroner untuk membuat keputusan di akhir prosiding, walaupun ia adalah keterangan 'hearsay'  ia boleh diterima kerana teknikaliti prosedur dalam inkues adalah lebih longgar," katanya.

Sementara itu, peguam mewakili seorang daripada lima remaja yang dikaitkan dalam kes Zara Qairina, Datuk Ram Singh menegaskan bahawa Dr Noor Aishah tidak sepatutnya dibenarkan meneruskan keterangan sebagai saksi pakar kerana beliau sendiri mengakui tidak berdaftar di bawah peruntukan berkaitan Akta 774.

"Beliau bukan pakar forensik yang berdaftar. Kita ada Dr Chua dan Dr Bhupinder, mereka semua berdaftar. Bagaimana kita boleh pilih-pilih? Sejak awal beliau mengangkat sumpah dan mengatakan beliau adalah pakar. 

"Jadi, keperluan di bawah Seksyen 21 dan Seksyen 33 adalah mandatori," katanya.

Ram berkata, status seseorang sebagai kaunselor tidak secara automatik menjadikannya seorang pakar psikologi forensik, walaupun mempunyai kelayakan akademik atau pengalaman tertentu.

"Beliau sendiri mengaku beliau hanya seorang kaunselor. Kaunselor tetap kaunselor....Mahkamah perlu membuat keputusan sekarang untuk berhenti mendengar keterangan beliau sebagai pakar,"  katanya.

Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding bagi membolehkan Koroner meneliti hujahan pihak-pihak sebelum membuat keputusan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!