Inkues Zara Qairina: Pakar psikiatri akui tidak daftar bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016

KOTA KINABALU - Doktor Psikiatri Kanak-Kanak yang memberi keterangan di Mahkamah Koroner dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir mengakui beliau tidak berdaftar sebagai Ahli Psikologi Klinikal Kanak-kanak di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.
Bagaimanapun, Dr Noor Aishah Rosli yang juga saksi ke-76 menegaskan beliau beramal menggunakan pendaftaran di bawah Lembaga Kaunselor.
Semasa menjawab soalan Pegawai Pengendali dalam inkues tersebut, Nahrah Dollah, Dr Noor Aishah menjelaskan beliau mempunyai dua kelayakan iaitu sebagai kaunselor berdaftar serta kelayakan akademik dan klinikal dalam bidang psikologi kanak-kanak.
"Akta ini masih baru lagi, tetapi disebabkan saya ada lesen dalam kaunselor berdaftar, maka saya boleh praktis dan juga membuat analisis tentang kanak-kanak dan juga remaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau mengetahui mengenai Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 di Mahkamah Koroner di sini pada Selasa.
Nahrah kemudian membangkitkan bahawa setakat prosiding berjalan, tiada bukti dikemukakan yang menunjukkan saksi merupakan Ahli Psikologi Klinikal Kanak-kanak yang berdaftar di bawah akta tersebut.
"Tapi sahkan doktor bukan seorang pakar psikologi kanak-kanak yang berdaftar di bawah akta tersebut," soalnya.
Namun Dr Noor Aishah menegaskan bahawa beliau menggunakan pendaftaran di bawah Lembaga Kaunselor.
"Saya tidak mendaftar dengan itu, tapi saya guna pakai pendaftaran Lembaga Kaunselor," katanya.
Beliau turut menjelaskan penyediaan laporan psikologi dalam kes itu bukan semata-mata bersandarkan statusnya sebagai kaunselor berdaftar, sebaliknya berdasarkan pengalaman klinikal yang luas.
"Untuk membuat laporan ni, menjadi kaunselor berdaftar tidak cukup, pengalaman saya dari sudut juga 'clinical work' saya lebih daripada 23,000 jam.
"Jadi dengan pengalaman saya, latar belakang akademik saya, maka saya menghasilkan laporan ini dan juga pengalaman saya sebagai praktis 'practitioner'," katanya.
Dr Noor Aishah turut mengesahkan nombor yang tertera pada cop jawatannya adalah nombor keahlian persatuan psikologi dan bukannya nombor pendaftaran di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016.
Nahrah kemudian merujuk kepada satu laporan kes lain yang memaparkan contoh nombor pendaftaran seorang pakar psikologi klinikal di bawah akta berkenaan sebelum mencadangkan penggunaan gelaran 'child clinical psychologist' memerlukan pendaftaran tersebut.
"Child clinical psychologist itu adalah kepakaran saya dan saya ada sijilnya," tegasnya.
Semasa prosiding berlangsung, peguam Shahlan Jufri mencelah bahawa persoalan sama ada saksi melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan merupakan isu undang-undang dan tidak wajar dijawab oleh saksi.
Bagaimanapun, Nahrah menegaskan perkara itu menyentuh soal kredibiliti dan kelayakan saksi untuk dinilai mahkamah sebelum Koroner Amir Shah Amir Hassan mengarahkan prosiding diteruskan dengan soalan lain.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kaedah pemilihan sumber maklumat bagi menyediakan laporan psikologi Zara Qairina, Dr Noor Aishah berkata, beliau memilih individu yang mampu memberikan maklumat berkaitan latar belakang remaja berkenaan.
"Bila saya tahu kes ini tentang mahu mengenal pasti adakah Zara ada niat untuk bunuh diri.
"Jadi saya buat perancangan memilih sumber-sumber ataupun individu-individu yang boleh memberikan saya banyak informasi tentang Zara.
"Saya mulakan dengan keluarga, saya lihat kawan, saya tengok sekolah, guru, jiran," katanya.
Beliau turut menolak dakwaan berlaku 'selection bias' dengan menjelaskan maklumat yang diperoleh dibandingkan daripada pelbagai sumber sebelum dimasukkan ke dalam laporan.
"Saya tegaskan saya tidak 'bias' ketika mendapatkan info dan ini terbukti daripada semua pemberi maklumat yang diperoleh itu hampir konsisten semuanya," katanya.
Mengenai kemungkinan berlaku 'informant bias', Dr Noor Aishah berkata, beliau menemui rakan-rakan Zara Qairina secara berasingan di sekolah tanpa mereka mengetahui tujuan sebenar pertemuan itu.
"Mereka pun tidak tahu apakah soalan yang akan saya tanya dan juga saya bertemu mereka berasingan, bukan tempat yang sama dan tidak ada sesiapa pun mendengar perbualan saya dengan mereka," katanya.
Beliau turut memaklumkan tidak menggunakan laporan bedah siasat atau laporan klinikal perubatan dalam analisis psikologinya kerana ia berada di luar bidang kepakarannya.
"Tugas saya adalah untuk mengenal pasti sejarah kehidupan Zara, mengetahui sama ada Zara ada kesihatan mental ataupun tidak, melihat hubungan Zara dan ibunya, dan seterusnya untuk mengenal pasti adakah Zara mempunyai niat untuk terjun dari tingkat tiga. Itu sahaja," katanya.
Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa penilaian seseorang secara keseluruhannya perlu mengambil kira aspek biopsikososial, namun menegaskan laporannya hanya menjurus kepada aspek psikologi mengikut skop kepakarannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
