Konflik sosial, tekanan asrama bukan bukti niat Zara Qairina tamatkan riwayat secara terancang - Pakar

Allahyarham Zara Qairina
Allahyarham Zara Qairina
A
A
A

KOTA KINABALU - Faktor seperti konflik rakan sebaya, tekanan asrama atau perubahan emosi yang dialami Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak boleh dinilai secara berasingan bagi membuat kesimpulan bahawa remaja itu mempunyai niat menamatkan riwayat secara terancang.

Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, penilaian psikologi terhadap Zara Qairina perlu mengambil kira keseluruhan latar belakang, perkembangan diri, hubungan sosial serta keadaan yang berlaku sebelum kejadian, bukannya hanya bergantung kepada satu kategori bahan atau faktor tertentu.

Beliau yang juga saksi ke-76 berkata, walaupun Zara Qairina berdepan beberapa cabaran berkaitan perkembangan remaja, faktor tersebut tidak mencukupi secara sendirinya untuk menyokong kesimpulan mengenai kewujudan niat membunuh diri yang stabil atau terancang.

"Adalah tidak tepat untuk membuat kesimpulan psikologi berdasarkan satu kategori bahan sahaja. Kesimpulan profesional saya adalah bahawa profil psikologi Zara secara keseluruhan menunjukkan seorang kanak-kanak dan remaja awal yang ceria, sosial, aktif, penyayang, pemurah, bermotivasi, mempunyai aspirasi dan mempunyai hubungan rapat dengan ibunya.

"Walaupun Zara mempunyai sensitiviti sosial dan cabaran perkembangan remaja seperti konflik rakan sebaya, kecemburuan persahabatan, tekanan asrama, dan beberapa tingkah laku maladaptif yang bersifat situasional, faktor-faktor tersebut tidak mencukupi secara sendirinya untuk menyokong kesimpulan bahawa Zara mempunyai niat membunuh diri yang stabil atau terancang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam keterangan bertulis yang dibacakan di Mahkamah Koroner, di sini pada Isnin.

Dr Noor Aishah berkata, Mahkamah Koroner perlu menilai keseluruhan bukti secara menyeluruh termasuk keadaan di sekolah, hubungan rakan sebaya, isu berkaitan asrama, kejadian melibatkan tuduhan atau pemeriksaan barang, tekanan sosial, reaksi emosi Zara pada malam kejadian serta bukti forensik dan keterangan saksi lain.

"Saya berpendapat bahawa mahkamah perlu menilai keseluruhan bukti secara holistik, termasuk keadaan di sekolah, hubungan rakan sebaya, isu asrama, kejadian berkaitan tuduhan atau pemeriksaan barang, tekanan sosial, reaksi emosi Zara pada malam kejadian, serta bukti forensik dan keterangan saksi lain," katanya.

Sebelum itu, beliau memaklumkan bahawa pandangan profesional dibuat berdasarkan bahan yang tersedia, temu bual yang dijalankan, laporan yang diteliti serta kepakaran dalam bidang psikologi kanak-kanak, kaunseling, penilaian psikologi dan Psychological Autopsy.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!