Pas tak perlukan sebarang 'kerusi hadiah' di Johor - Abdul Hadi

SHAH ALAM – Pas tidak memerlukan sebarang 'kerusi hadiah' di Johor selepas membantu memastikan negeri itu terus dipimpin oleh orang Melayu Islam pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keutamaan parti itu bukan mendapatkan ganjaran politik, sebaliknya memastikan Johor tidak dikuasai Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya dipimpin DAP.
“Pas bersyukur kepada ALLAH SWT kerana berjaya menyelamatkan Johor yang terus dipimpin Melayu Islam dan atas kegagalan DAP bersama sekutunya, Pakatan Harapan (PH) dan UMDAP daripada menawan Johor.
“Ucapan tahniah ditujukan kepada Johor dan Pas tidak memerlukan sebarang kerusi hadiah daripada Johor. Apa yang paling diharapkan oleh Pas ialah perpaduan Melayu Islam yang memimpin negara Malaysia yang tercinta ini bersama bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden Pas di Facebook pada Khamis.
Keputusan PRN Johor 2026 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan UMNO meraih 36 kerusi, MCA lapan kerusi dan MIC empat kerusi sekali gus sekali lagi berjaya membentuk kerajaan negeri sementara PH memenangi lapan kerusi.
ARTIKEL BERKAITAN: Bersama tidak sertai PRN Negeri Sembilan, beri tumpuan kepada Melaka
Sokongan Melayu merosot di Johor, PH rombak strategi hadapi PRN Negeri Sembilan - Amirudin
'Formula Johor' boleh jadi resipi BN
'Linggi bukan kerusi selamat, itu kubu kuat BN' - Aminuddin
DAP anggap Aminuddin panglima perang, pilih sebagai 'poster boy' PH
Jangan jadikan krisis institusi Diraja sebagai bahan kempen - PM
PRN Negeri Sembilan: Aminuddin tinggalkan Sikamat, bakal bertanding di Linggi
Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di 33 kerusi DUN menerusi parti komponennya Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) pula tidak memenangi sebarang kerusi.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor mengarahkan ahli dan penyokong Pas mengundi calon UMNO-BN di kerusi yang tidak ditandingi PN pada PRN Johor bagi menghalang kemenangan PH.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi mengulangi bahawa Pas sanggup mengorbankan kepentingan sendiri apabila menggerakkan ahli dan penyokong dari seluruh negara untuk membantu BN.
Justeru, kata beliau, Pas mengharapkan sebahagian dalam kalangan UMNO yang bersekongkol dengan DAP (UMDAP) kembali ke pangkal jalan.
“Pas mengorbankan diri menyokong UMNO di Johor supaya gagal ditawan oleh PH-DAP sehingga dikerahkan ahli dan penyokong dari seluruh negara, mengorbankan tenaga serta wang ringgit supaya mengundi BN.
“Kami juga mengetepikan salah laku UMNO terhadap Pas walaupun hilang kerusinya di Johor,” ujarnya,
Beliau menyifatkan pengorbanan Pas ibarat ‘lilin yang membakar diri’ demi membantu pihak lain serta mengumpamakannya seperti pokok buah-buahan yang tetap menggugurkan buah lazat walaupun direjam batu dan kayu oleh kanak-kanak nakal.
Sehubungan itu juga, Abdul Hadi berkata, Pas mengajak kepada perpaduan umat Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem daripada semua kaum dan agama.
“Kita mengambil teladan daripada Rasulullah SAW yang melakukan perpaduan bangsa Arab bersama Islam, diikuti perpaduan penganut Islam daripada pelbagai bangsa, serta perpaduan kemanusiaan bersama bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Apa yang paling diharapkan oleh Pas ialah perpaduan Melayu Islam yang memimpin negara Malaysia yang tercinta ini bersama bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

