'Formula Johor' boleh jadi resipi BN

PUTRAJAYA – ‘Formula Johor’ boleh menjadi resipi Barisan Nasional (BN) untuk mengulangi kemenangan besar pada PRN Negeri Sembilan, kata penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr P Sivamurugan.
Menurutnya, kejayaan BN menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Johor bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya didorong gabungan beberapa faktor yang membentuk keyakinan pengundi terhadap gabungan itu.
Beliau berkata, antara faktor utama ialah kepimpinan pusat, kepimpinan negeri, pengalaman sebagai kerajaan penyandang serta naratif kestabilan yang berjaya diketengahkan sepanjang kempen.
“Semua itu menjadi faktor mengapa BN berjaya. Di samping peralihan sokongan Pas kepada BN dan juga ketidakhadiran pengundi Cina untuk menyokong DAP. Jadi ini faktor yang menyumbang,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas peluang BN pada PRN Negeri Sembilan, Sivamurugan berkata, gabungan itu perlu mengekalkan pendekatan yang sama jika mahu membawa momentum kemenangan Johor ke negeri berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, BN perlu segera menamakan calon poster boy bagi membina keyakinan pengundi, selain mempertimbangkan untuk bergerak secara solo seperti dilakukan di Johor.
“Di Johor juga salah satu keputusan kemenangan adalah keputusan bergerak secara solo. Jadi barangkali BN akan buat keputusan yang sama bergerak solo dan tidak ada kerjasama dengan Pakatan Harapan seperti di pusat supaya tidak ada kecaman ataupun membentuk sentimen sebagaimana kejayaan di Johor.
“Tetapi di Johor jelas poster boynya. Poster boy perlu jelas supaya membina keyakinan dan kepercayaan pengundi Negeri Sembilan,” ujar beliau.
Sivamurugan turut berpandangan kemenangan besar BN di Johor mencerminkan perubahan sentimen pengundi yang kini lebih memberi perhatian kepada pendekatan kempen berteraskan kestabilan berbanding politik menyerang.
Katanya, sepanjang kempen di Johor, BN tidak menumpukan kepada pembunuhan karakter atau celaan terhadap pihak lawan, sebaliknya memberi fokus kepada kepimpinan negeri dan agenda kestabilan.
“Berbanding PH yang turut menggunakan naratif-naratif lama terrmasuk isu Najib, walhal beliau di penjara. Pengampunan adalah isu istana, bukan lagi isu mahkamah. Jadi perkara-perkara ini dianggap sudah tidak lagi relevan,” katanya.
Mengulas sama ada corak pengundian Johor boleh diterjemahkan di Negeri Sembilan yang mempunyai demografi dan komposisi kerusi berbeza, Sivamurugan berkata, perkara itu tidak mustahil sekiranya BN mengekalkan formula yang sama.
“Boleh jika sekiranya formula sama digunakan, dengan kerjasama menyeluruh oleh BN serta beri tumpuan kepada isu negeri, isu kumpulan setempat dan isu lokal. BN juga pernah menguasai Negeri Sembilan untuk satu tempoh yang panjang,” ujar beliau.
Sementara itu, Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis pula mengingatkan agar kemenangan besar BN di Johor tidak dianggap mampu diterjemahkan secara automatik pada PRN Negeri Sembilan memandangkan kedua-dua negeri mempunyai struktur politik, demografi dan corak persaingan yang berbeza.
Beliau berkata, meskipun kemenangan di Johor memberi momentum politik kepada BN, ia tidak semestinya mewujudkan bandwagon effect dalam kalangan pengundi Negeri Sembilan.
Beliau berkata, kelebihan sebagai penyandang juga berada di pihak PH yang mentadbir Negeri Sembilan ketika ini, justeru BN tidak boleh menganggap formula Johor akan berulang dengan sendirinya.
“Momentum membantu dari sudut psikologi, tetapi kemenangan tetap bergantung kepada sejauh mana BN mampu menyesuaikan strategi dengan realiti politik Negeri Sembilan,” jelas penganalisis politik itu.
Mujibu turut berpandangan kemenangan BN di Johor lebih menggambarkan kecenderungan pengundi yang kini menilai prestasi pentadbiran negeri dan kestabilan politik berbanding semata-mata dipengaruhi sentimen nasional.
Beliau berkata, fenomena issue-based voting dan performance voting semakin jelas apabila pengundi mula membezakan penilaian terhadap kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, pengajaran utama daripada PRN Johor ialah semua parti perlu menawarkan naratif yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat, mengetengahkan calon berwibawa serta memberi tumpuan kepada isu tempatan kerana corak keputusan tidak boleh disalin secara langsung ke Negeri Sembilan yang mempunyai struktur politik berbeza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

