Bersama tidak sertai PRN Negeri Sembilan, beri tumpuan kepada Melaka

SHAH ALAM -Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengesahkan tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi PRN Melaka.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan bagi pihak Bersama oleh Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk persaingan yang dijangka lebih sengit antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan serta kedudukan PH sebagai kerajaan negeri.
Selain itu, keputusan PRN Negeri Sembilan juga disifatkan berpotensi memberi kesan kepada beberapa isu politik semasa, termasuk konflik yang melibatkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
"Mengambil kira faktor-faktor ini serta kekangan masa dan sumber, Bersama berpendapat adalah lebih strategik untuk mengalihkan fokus kepada Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan diadakan beberapa bulan lagi.
"Sehubungan itu, Bersama tidak akan menyertai PRN Negeri Sembilan bagi memberi sepenuh tumpuan kepada persiapan menghadapi PRN Melaka," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Menurut kenyataan sama, mesyuarat persediaan awal bagi menghadapi PRN Melaka akan diadakan pada 21 Julai ini bagi mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi serta memulakan proses saringan calon supaya senarai calon dapat diumumkan lebih awal.
Dalam pada itu, Bersama turut akan mengadakan majlis penghargaan kepada sukarelawan yang bertugas pada PRN Johor pada Ahad ini di ibu pejabatnya di Puchong sebelum diteruskan dengan acara tontonan bersama perlawanan akhir Piala Dunia.
Rafizi, Nik Nazmi dan Syukri turut merakamkan penghargaan kepada ahli serta sukarelawan yang bersedia digerakkan ke PRN Negeri Sembilan walaupun masih keletihan selepas kempen PRN Johor.
Menurut mereka, tempoh persediaan yang lebih panjang diyakini membolehkan Bersama membuat persiapan lebih rapi untuk menghadapi PRN Melaka, selain mengambil kira pelbagai pertimbangan strategik.
Mereka pada masa sama mengucapkan selamat mengundi kepada pengundi di Negeri Sembilan dan berharap dapat bertemu semula pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

