[VIDEO] 'Linggi bukan kerusi selamat, itu kubu kuat BN' - Aminuddin

A
A
A

KUALA PILAH - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan keputusan berpindah ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah untuk memastikan gabungan itu berjaya merampasnya daripada Barisan Nasional (BN).

Ini kerana kata beliau, kerusi terbabit merupakan kubu kuat BN sejak sekian lama dan PKR pernah bertanding di situ, namun tewas.

"Linggi bukan kerusi selamat, itu adalah kubu kuat BN yang mana mereka tidak pernah kalah di situ. Kali ini saya bertanding di situ untuk memastikan kemenangan.

"Jadi saya rasa ini peluang saya untuk memberikan khidmat kepada penduduk di Linggi kerana kita pernah bertanding di situ tetapi kalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon PH PRN Negeri Sembilan di sini yang disempurnakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam Selasa.

Dalam pada itu Aminuddin yang mesra disapa dengan panggilan Tok Min turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi DUN Sikamat yang telah memberi kepercayaan kepadanya berkhidmat di situ selepas memenangi kerusi terbabit pada tahun 2008.

Aminuddin (tengah) diumum bertanding DUN Linggi pada PRN Negeri Sembilan pada malam Selasa.
Aminuddin (tengah) diumum bertanding DUN Linggi pada PRN Negeri Sembilan pada malam Selasa.

"Kepada pengundi DUN Sikamat, saya ucapkan terima kasih, saya amat terhutang budi kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya sayang mereka dan saya yakin sokongan mereka kepada PH sejak sekian lama sejak Pakatan Rakyat pada 2008.

"Hingga ke hari ini mereka memberikan sokongan. Saya yakin mereka akan terus memberikan sokongan kepada calon baharu kita," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Aminuddin, Nor Azman Mohamad yang dicalonkan di DUN Sikamat menyifatkan ia sebagai satu cabaran yang hebat kerana perlu meneruskan legasi ditinggalkan menteri besar terbabit.

"Ini bukan satu perkara mudah. Saya tidak memandang mudah persaingan ini. Mengambil alih amanat daripada Tok Min yang telah meletakkan penanda aras agak tinggi di Sikamat dengan khidmatnya.

"Insya ALLAH saya dengan sedaya upaya akan meneruskan gerak kerja yang telah beliau laksanakan sebelum ini serta memastikan kebajikan rakyat Sikamat dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

"Saya akan pastikan DUN Sikamat memberi sumbangan dalam pembentukan kerajaan Negeri Sembilan pada PRN kali ini," katanya.

Ketua Penerangan PKR itu juga mengakui menjadi cabaran untuknya mempertahankan kerusi terbabit yang dimenangi Aminuddin selama empat penggal berturut-turut.

"Saya diamanahkan di tempat yang dikatakan kubu kuat PH, jadi cabaran untuk kekalkan itu dalam suasana yang ada pada hari ini bukan sesuatu yang mudah.

"Tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk bertemu dengan semua pengundi, meyakinkan pengundi bagaimana kita dapat meneruskan agenda yang ditinggalkan Tok Min," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!