Cegah kluster baharu Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan bahawa semua penuntut universiti di institut pengajian tinggi (IPT) perlu kekal berada di kampus masing-masing susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini adalah langkah yang tepat bagi mencegah kewujudan kluster jangkitan baharu koronavirus (Covid-19).

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kebajikan anak-anak mereka terjaga.

Menurutnya, sejak awal PKP dilaksanakan, penuntut yang tidak dapat pulang ke kampung bukan sahaja diberikan peruntukan duit makanan sebanyak RM15 sehari, malah aspek penjagaan kesihatan dan psikologi turut diberikan perhatian.

“Di UPSI, kita ada lebih 5,000 penuntut yang masih berada di dalam atau tinggal berhampiran kampus dengan setiap data pengenalan diri dan tempat tinggal mereka disimpan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti.

“Melalui data ini, kita bukan sahaja boleh memantau keadaan mereka dengan lebih baik, bahkan kita dapat memastikan mereka menerima akses kemudahan pemulihan psikologi, kerohanian serta penjagaan kesihatan dengan lebih mudah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Dr Mohammad Shatar berkata, antara kemudahan tambahan yang disediakan untuk kebajikan penuntut yang berada di kampus adalah penyediaan khidmat kaunselor dalam talian dan operasi Pusat Kesihatan melalui pasukan Covid-19 berjalan selama 24 jam sehari.

“Selain itu, UPSI turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk menggalakkan interaksi sosial antara penuntut yang masih mengamalkan penjarakkan sosial termasuk penganjuran pertandingan bagi mengelak mereka rasa terkongkong di kampus.

“Kita akui aktiviti kampus tidak boleh menyelesaikan masalah emosi penuntut 100 peratus, namun sekurang-kurangnya menjamin keselamatan mereka daripada jangkitan koronavirus (Covid-19),” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Profesor Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha turut bersetuju dengan keputusan kerajaan itu.

Beliau melahirkan kebimbangan jika berlaku pergerakan besar-besaran penuntut dari semua IPT untuk pulang ke kampung halaman, ia akan menggagalkan usaha PKP.

Menurutnya, jumlah keseluruhan penuntut yang masih tinggal di kampus IPT seluruh Malaysia amat besar iaitu lebih 75,000 orang dan risiko mewujudkan kluster jangkitan Covid-19 baharu amat tinggi sekiranya ia tidak dikawal secara sistematik.

“Justeru, saya minta semua ibu bapa dan penuntut supaya akur dengan keputusan kerajaan serta meletakkan kepentingan keselamatan seluruh rakyat Malaysia lebih utama daripada kepentingan peribadi.

“Pengurusan Uniten memberi jaminan keseluruhan 400 penuntut di kampus Putrajaya dan kampus Sultan Haji Ahmad Shah di Muadzam, Pahang akan diberikan makanan secukupnya sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Beliau turut menegaskan aktiviti pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di Uniten masih diteruskan melalui platform secara dalam talian bagi memastikan pengajian kuliah terus berjalan seperti dirancang.

Menurutnya, masa penuntut di Uniten dipenuhi dengan aktiviti kuliah, tutorial dan pembentangan akademik, sekali gus menolak dakwaan mereka sekadar membuang masa di kampus.

Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin pula berkata, universiti itu memperkenalkan inisiatif kemudahan perkhidmatan kaunseling secara siaran langsung melalui laman sosial Facebook setiap hari bagi menenangkan lebih 4,400 penuntut yang masih tinggal di kampus.

Menurutnya, inisiatif itu merupakan sebahagian usaha UMS untuk menjaga kebajikan penuntut, selain aspek pemakanan dan penjagaan kesihatan.

“Penuntut di kampus UMS Kota Kinabalu, Sandakan dan Labuan berpeluang melayari program pengisian dalam talian yang disediakan pengurusan universiti bagi mengisi keperluan pengajian, psikologi, kerohanian dan riadah mereka.

“Kami juga sediakan talian kecemasan 24 jam untuk penuntut dapatkan khidmat kaunseling dan penjagaan kesihatan,” katanya.