Masjid At-Taqwa Bukit Jambul bakal berwajah baharu

Kerja-kerja menukar bumbung masjid dilakukan melalui dana yang terkumpul. Foto Masjid At-Taqwa
Kerja-kerja menukar bumbung masjid dilakukan melalui dana yang terkumpul. Foto Masjid At-Taqwa
A
A
A

PENDANG – Keadaan usang Masjid At-Taqwa di Kampung Bukit Jambul di sini yang berusia lebih 80 tahun mendorong pihak pengurusan melaksanakan projek pengubahsuaian secara berperingkat bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah terus terpelihara.

Pengurus Pembangunan Masjid At-Taqwa, Rohizad Hamzah berkata, projek pengubahsuaian itu akan dilaksanakan secara berfasa selepas mendapat kelulusan daripada Mufti Negeri Kedah dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

“Masjid ini menjadi pusat ibadah dan aktiviti masyarakat setempat sejak puluhan tahun lalu.

“Justeru, usaha menaik taraf kemudahannya penting supaya ia terus dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau menjelaskan, antara kerja yang diberi keutamaan ialah penggantian bumbung ruang solat utama yang rosak serta penukaran struktur kayu yang semakin reput kepada binaan konkrit bagi memastikan bangunan masjid lebih kukuh dan selamat digunakan.

“Kerja-kerja pengubahsuaian melibatkan beberapa komponen termasuk penggantian bumbung dan penambahbaikan struktur bangunan yang sudah uzur,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kos keseluruhan projek dianggarkan berjumlah RM600,000 namun dana yang berjaya dikumpulkan setakat ini baharu mencecah kira-kira RM100,000.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Masjid At-Taqwa di Agrobank menerusi nombor akaun 1005091000039148 atau membuat pembayaran secara dalam talian melalui platform ToyyibPay yang disediakan pihak masjid.

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!