Kawalan sempadan Gibraltar-Sepanyol selama lebih 40 tahun tamat

GIBRALTAR - Era baharu bermula antara Sepanyol dan wilayah Gibraltar pada Rabu apabila pemeriksaan di sempadan yang sekian lama menjadi punca ketegangan akhirnya dimansuhkan.
Langkah itu dilaksanakan susulan perjanjian yang dicapai antara Brussels dan London selepas Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) pada 2020, sekali gus menamatkan kawalan sempadan yang berkuat kuasa sejak lebih empat dekad lalu.
Sejumlah individu dan kenderaan melintasi sempadan dari Sepanyol buat kali pertama tanpa menjalani pemeriksaan kastam beberapa minit selepas waktu tengah malam.
Sekumpulan orang ramai turut berkumpul untuk menyaksikan detik bersejarah itu sambil mengibarkan bendera Sepanyol, manakala Ketua Menteri Gibraltar, Fabian Picardo mengumumkan, 'Eropah telah kembali.'
Di bawah perjanjian itu, Gibraltar yang merupakan wilayah kecil milik Britain itu akan menyelaraskan peraturan sempadannya dengan kawasan perjalanan bebas pasport Schengen di Eropah.
Wilayah tadbir sendiri yang terletak di hujung paling selatan Semenanjung Iberia dan berpopulasi seramai 40,000 penduduk itu bergantung kepada kira-kira 15,500 pekerja yang melintasi sempadan dari Sepanyol pada setiap hari. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

