Terima kasih TMJ!

Tunku Ismail
Tunku Ismail
A
A
A

PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kenyataan baginda yang dilihat menyokong pemain dalam isu rundingan kontrak.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, barisan kepimpinan PFAM menyifatkan kenyataan serta sokongan berkenaan membuktikan keprihatinan baginda yang selama ini menyokong usaha memartabatkan kerjaya pemain bola sepak profesional.

Menurut PFAM, kenyataan berkenaan turut menyokong isu rundingan kontrak sebagaimana yang disarankan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“PFAM dengan rasa sangat berbesar hati, ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tunku Ismail atas sokongan yang diberikan kepada pemain dalam isu berkenaan.

“Kenyataan berkenaan juga adalah isyarat jelas bahawa hak dan kebajikan pemain perlu dihormati terlebih dahulu sebelum apa-apa proses rundingan dilakukan,” kata PFAM menerusi kenyataan media berkenaan.

Dalam kenyataannya, Tunku Ismail memberi peringatan kepada semua pasukan agar tidak menjadikan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk memotong gaji tanpa menyelesaikan gaji tertunggak pemain yang masih belum dijelaskan.

Mengulas lanjut, PFAM juga menyifatkan kenyataan media berkenaan memberikan isyarat jelas bahawa hak dan kebajikan pemain perlu dihormati terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa proses rundingan.

Oleh itu, menurut PFAM pasukan-pasukan yang masih mempunyai tunggakan perlu segera melunaskan tunggakan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kami di PFAM menggesa agar pasukan-pasukan yang mempunyai tunggakan, agar segera melunaskan tunggakan masing-masing.

“Selain melaksanakan tunggakan, dua syarat yang telah diletakkan adalah bagi memastikan proses rundingan bersama para pemain dapat dilaksanakan secara telus dan saksama,” katanya.