'Anak sekolah Cina boleh johan tilawah' - Bapa kongsi kisah anak untuk beri inspirasi

Mohd Thirmidzi meraikan kejayaan Yuki Raisha selepas bergelar johan tilawah al-Quran.Foto: MOHD THIRMIDZI IBRAHIM
Mohd Thirmidzi meraikan kejayaan Yuki Raisha selepas bergelar johan tilawah al-Quran.Foto: MOHD THIRMIDZI IBRAHIM
A
A
A

KOTA BHARU – Video seorang bapa mengajar anak membaca al-Quran yang tular menerusi aplikasi TikTok bukan sekadar mengundang ratusan ribu tontonan, malah menjadi titik perubahan apabila membuka mata ramai bahawa murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mampu cemerlang dalam pendidikan agama.

Lebih membanggakan pelajar Tahun Lima SJKC Chung Hwa di sini, Yuki Raisha Mohd Thirmidzi, 11, bukan sahaja lancar membaca kitab suci itu malah bergelar johan tilawah al-Quran peringkat zon.

Bapanya, Mohd Thirmidzi Ibrahim, 41, berkata, dia tidak pernah berniat mencetuskan perdebatan apabila memuat naik video mengajar anaknya mengaji di TikTok kerana rakaman itu dibuat sebagai kenangan sebelum Yuki Raisha memohon supaya ia dimuat naik ke laman sosial.

"Saya rakam masa ajar dia mengaji. Lepas itu anak pula minta saya muat naik ke TikTok. Tak sangka terus tular. Di YouTube pun ada orang muat naik semula video itu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut Mohd Thirmidzi yang menetap di Pasir Tumbuh di sini, dia sengaja memilih menghantar dua daripada tiga anaknya iaitu Yuki Raisha dan Yuki Hana, 8, ke SJKC Chung Hwa walaupun dirinya sendiri tidak tahu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalamannya yang banyak berurus niaga di China sebelum ini.

"Saya dulu sering ke China namun tidak pandai bertutur bahasa Cina. Sebab itu saya fikir biarlah anak-anak belajar bahasa itu dari kecil," katanya.

Mohd Thirmidzi yang berniaga minyak wangi memberitahu, walaupun memilih sekolah aliran Cina, soal pendidikan agama di sekolah berkenaan tidak pernah diketepikan.

Katanya, dia sendiri mengajar anak-anaknya membaca Iqra' sehingga khatam Muqadam sebelum menghantarnya mengikuti kelas mengaji al-Quran secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Saya memang ajar anak baca Iqra', kemudian Muqadam. Bila masuk al-Quran, saya hantar dia belajar mengaji secara dalam talian," katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu menghentikan tanggapan bahawa murid SJKC tidak mendapat pendedahan agama.

"Ramai ada sentimen kalau sekolah Cina, anak tak pandai baca al-Quran atau kurang ilmu serta pendidikan agama.

"Sebenarnya tidak. Di sekolah pun ada kelas agama termasuk Kafa (Kelas Asas Fardu Ain)," katanya.

Malah, beliau memberitahu, pengalaman anaknya ketika di Tahun Satu membuktikan guru-guru di SJKC juga mengambil berat soal pemakaian dan sahsiah murid Islam.

"Anak saya pernah ditegur oleh guru berbangsa Cina kerana tidak memakai tudung ketika di sekolah. Bagi saya, itu menunjukkan mereka juga prihatin terhadap murid Islam," katanya.

Menurut Mohd Thirmidzi, dia berharap kisah anaknya yang berjaya dalam tilawah al-Quran dan video yang tular di media sosial dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap SJKC.

Ujarnya, sekolah hanya tempat menimba ilmu dimana didikan agama bermula dari rumah.

Tambah beliau, kalau ibu bapa beri perhatian, tidak kira anak-anak belajar di sekolah aliran mana pun boleh mengaji, faham agama serta berjaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!