Bersatu umum tanding guna simbol sendiri pada PRN Negeri Sembilan

Muhyiddin (tengah) pada sidang media khas di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya pada Rabu.
Muhyiddin (tengah) pada sidang media khas di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan akan meletakkan calon-calonnya menggunakan simbol parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan susulan kegagalan Perikatan Nasional (PN) memuktamadkan pembahagian kerusi.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan ditangguhkan bagi tempoh yang tidak ditetapkan, selain Bersatu tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan berkaitan agihan kerusi.

Menurutnya, semua calon Bersatu yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan akan menggunakan simbol parti berkenaan.

"Sebelum keputusan ini dibuat, kita menerima banyak maklum balas yang bertanya mengapa tidak menggunakan logo Bersatu.

"Tujuannya bukan kerana kita keluar daripada dasar atau PN, sebaliknya untuk membezakan identiti parti dengan lebih jelas," katanya pada sidang akhbar khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Rabu.

Muhyiddin berkata, keputusan itu turut mengambil kira pengalaman pada PRN Johor yang menurutnya menunjukkan penggunaan simbol gabungan PN menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.

Katanya, ramai penyokong serta akar umbi mencadangkan supaya Bersatu menggunakan simbol sendiri kerana lebih mudah dikenali berbanding simbol gabungan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penggunaan simbol sendiri tidak bermaksud Bersatu akan meninggalkan PN.

Sebaliknya, katanya, Bersatu kekal sebagai parti komponen dalam gabungan itu dan tiada sebarang keputusan dibuat untuk keluar daripada PN.

Artikel Berkaitan:

Mengulas fokus kempen pada PRN Negeri Sembilan, Muhyiddin berkata, Bersatu akan terus mengetengahkan isu yang dekat dengan rakyat termasuk pembangunan ekonomi, kos sara hidup, kesihatan, pendidikan, hubungan antara kaum serta usaha memperbaiki keadaan negara.

Menurut beliau, peningkatan kos sara hidup, pendapatan yang tidak meningkat serta pelbagai cabaran ekonomi merupakan antara isu yang sering dibangkitkan rakyat ketika beliau turun padang.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, Bersatu turut mengambil maklum hasrat beberapa parti politik yang ingin menggunakan simbol parti itu pada PRN Negeri Sembilan.

Katanya, MPT Bersatu telah bersetuju memberikan mandat kepada Presiden Bersatu untuk memberi kebenaran kepada calon daripada parti lain menggunakan simbol Bersatu.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di Negeri Sembilan supaya menyokong dan mengundi calon-calon Bersatu pada PRN Negeri Sembilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!