Forest City beri jaminan kerjasama penuh siasatan Network School

Laporan Sinar Harian berhubung operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Laporan Sinar Harian berhubung operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – [DIKEMAS KINI] Forest City memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan berhubung operasi Network School susulan dakwaan membabitkan kewarganegaraan seorang individu.

Dalam kenyataan pada Rabu, Forest City berkata, pihaknya menyokong pendirian kerajaan yang tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan Johor sebagai pangkalan kepada sebarang ideologi, gerakan atau aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang negara.

“Forest City bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan dalam sebarang siasatan.

“Forest City juga komited mengemukakan semua dokumen berkaitan yang diperlukan bagi membantu melancarkan siasatan dan mempercepat proses penentuan fakta secara menyeluruh, tepat serta berkesan,” katanya.

Forest City turut menegaskan pendirian toleransi sifar terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan premis, ketidakpatuhan peraturan imigresen atau aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Tambah kenyataan itu, sekiranya pihak berkuasa mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, peraturan imigresen, syarat pelesenan, penggunaan tanah atau perjanjian, Forest City akan melaksanakan haknya berdasarkan undang-undang dan kontrak.

“Forest City kekal komited melaksanakan tanggungjawab, pematuhan dan ketelusan selaras dengan undang-undang Malaysia demi memastikan keselamatan komuniti, melindungi kepentingan Johor serta mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!