Onn Hafiz kembali terajui pentadbiran Johor

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang terus menerajui negeri selepas Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukanlah nama asing dalam landskap politik negeri malah mewarisi legasi kepimpinan yang cukup besar.
Onn Hafiz, 48, merupakan cicit kepada pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar yang juga Menteri Besar Johor ketujuh, selain cucu kepada Perdana Menteri Malaysia ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn.
Beliau meneruskan kepimpinan negeri bagi penggal kedua selepas BN memenangi 48 daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor semalam, meningkat daripada 40 kerusi yang diraih gabungan itu pada pilihan raya negeri 2022.
Kemenangan dengan majoriti lebih besar itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Onn Hafiz untuk meneruskan agenda pembangunan dan pentadbiran yang telah dirintis sejak dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 pada 15 Mac 2022.
Terdahulu, beliau mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene, di sini, sebagai Menteri Besar Johor.
Dilahirkan pada 2 Mac, 1978, Onn Hafiz memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada University of Hertfordshire, United Kingdom, selain pernah mendapat pendidikan di Royal Military College (RMC).
Bapa kepada empat anak itu turut memiliki latar belakang dalam bidang perakaunan yang membawa beliau memulakan kerjaya profesional bersama firma audit dan perunding antarabangsa Pricewaterhouse Coopers (PwC) dari 2001 hingga 2004.
Beliau kemudiannya menyertai sektor korporat dari 2005 hingga 2013, termasuk berkhidmat sebagai Pengarah Chin Well Holdings Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif KMB Sdn Bhd.
Pengalaman dalam bidang korporat dan pengurusan itu kemudiannya menjadi antara asas kepada pendekatan pentadbiran beliau yang menekankan kecekapan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negeri.
Onn Hafiz mula terlibat secara aktif dalam politik sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sembrong dari 2012 hingga 2018.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan dari 2013 hingga 2018 sebelum dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Selepas memenangi kerusi berkenaan, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor dari 2019 hingga 2022, sebelum beralih bertanding dan memenangi kerusi DUN Machap pada PRN Johor 2022.
Kemenangan di Machap membuka laluan kepada pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor ke-19, menggantikan Datuk Hasni Mohammad selepas BN memperoleh mandat besar pada pilihan raya negeri berkenaan.
Sepanjang lebih empat tahun menerajui pentadbiran Johor, Onn Hafiz memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda Maju Johor 2030 sebagai hala tuju pembangunan jangka panjang negeri yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi, peningkatan pelaburan.
Dalam parti, beliau dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam sejak 2023.
Sebelum itu, beliau merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam dari 2018 hingga 2023. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Dua faktor kemenangan BN
[RASMI] Keputusan penuh 56 kerusi PRN Johor ke-16
BN menang besar 48 kerusi DUN Johor - SPR
Anwar ucap tahniah kepada BN, janji Kerajaan Persekutuan terus bantu Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
