34 dicekup dalam parti liar

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 34 lelaki dan wanita yang menyertai parti liar ditahan menerusi lima serbuan berasingan di dua apartment di sini dan Masai, Pasir Gudang selama dua hari berturut-turut.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua serbuan dilakukan pada jam 12.30 malam semalam manakala tiga lagi jam 10.30 malam kelmarin semasa mereka sedang berseronok dalam apartment tersebut.

"Menerusi lima serbuan itu, kita menahan 23 lelaki dan 11 wanita yang berusia antara 17 hingga 31 tahun dipercayai terlibat dalam pesta liar dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita merampas dadah jenis ketamin 6.68 gram, 20 biji pil ekstasi dan tiga biji pil eramin 5," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati 20 lelaki serta lapan wanita positif ketamin dan ganja.

Jelasnya, siasatan awal mendapati semua suspek bukan penghuni di premis itu serta gagal memberi alasan munasabah sebab mereka berkumpul.

Menurutnya, semakan mendapati tiga lelaki mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dadah selain mendapati dua lelaki yang merupakan penjawat awam.

Katanya, lapan suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah, manakala mereka yang postif dadah pula Seksyen 15(1)A ADB 1952.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua suspek turut didakwa mengikut Peraturan 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan direman mulai kelmarin hingga 16 April ini untuk siasatan lanjut.